Stadium Sultan Ibrahim Larkin bakal diguna JDT bulan depan

Pembinaan stadium berkenaan yang dianggarkan mencecah hampir RM200 juta dengan kapasiti 41,000 tempat duduk dilaporkan telah dimulakan pada 2017.
Pembinaan stadium berkenaan yang dianggarkan mencecah hampir RM200 juta dengan kapasiti 41,000 tempat duduk dilaporkan telah dimulakan pada 2017.
A
A
A

STADIUM Sultan Ibrahim Larkin di Iskandar Puteri yang menjadi venue baharu untuk juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka boleh mula digunakan sepenuhnya pada bulan depan.

Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Anizam Jamian yang memaklumkan pihak kontraktor sedang membuat beberapa pengubahsuaian peringkat akhir sebelum ia diserahkan kepada pengurusan JDT pada 20 Januari ini.

Beliau memaklumkan antara beberapa kawasan yang masih diubah suai adalah bilik persalinan pemain, bahagian dalaman ‘corporate box’, kaunter-kaunter tiket dan karpet sisi padang.

“Lampu LED pada masa ini sedang dinaik taraf bagi membolehkan pengalaman menyaksikan perlawanan yang lebih baik manakala lawang putar penyokong yang dipasang adalah buat sementara kerana lawang putar yang lebih canggih pertama di Malaysia telah ditempah dan akan tiba pada bulan April.

Tempat duduk kawasan granstan telah dipasang dengan kerusi plastik sementara menunggu kerusi kulit tiba pada bulan Mac,” kata Mohd Anizam yang dipetik sebagai berkata dalam hantaran terbaharu laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers hari ini.

Pembinaan stadium berkenaan yang dianggarkan mencecah hampir RM200 juta dengan kapasiti 41,000 tempat duduk dilaporkan telah dimulakan pada 2017.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, pembinaan stadium berkenaan di atas tanah berkeluasan 28.3 hektar itu termasuk pembinaan Bandar Sukan JDT merangkumi hotel, pangsapuri, pusat membeli-belah, padang ragbi, gelanggang tenis dan beberapa fasiliti sukan moden.

JDT bakal menggunakan Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi pembuka tirai perlawanan Piala Sumbangsih menentang juara bertahan Piala FA, Kedah pada 28 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang sebelum ini digunakan JDT dalam saingan Liga Malaysia akan digunakan oleh pasukan JDT II yang akan beraksi dalam Liga Premier.

Skuad Piala Presiden (Bawah 21 Tahun) dan Belia (Bawah 19 Tahun) JDT pula akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang sebelum ini menjadi gelanggang pasukan JDT II. - Bernama