Snek 'lejen' imbau nostalgia, bangkit suasana klasik

Melihat aneka biskut seperti biji asam, choco bear dan kapal terbang yang popular pada era 80-an dan 90-an tentunya mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak bagi mereka yang membesar dengan makanan lejen tersebut. Foto ihsan Amirul Azril Ahmad Azmai
Melihat aneka biskut seperti biji asam, choco bear dan kapal terbang yang popular pada era 80-an dan 90-an tentunya mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak bagi mereka yang membesar dengan makanan lejen tersebut. Foto ihsan Amirul Azril Ahmad Azmai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Melihat aneka biskut seperti biji asam, choco bear dan kapal terbang yang popular pada era 80-an dan 90-an tentunya mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak bagi mereka yang membesar dengan makanan lejen tersebut.

Begitu juga dengan jajan seperti biskut yang diletak dalam kotak beserta mainan, gula-gula asam duit syiling dan beberapa snek lain yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Meskipun berdekad telah berlalu serta pelbagai inovasi makanan tular silih berganti, snek lejen yang rata-rata mengekalkan bungkusan dengan ilustrasi serupa masih mendapat permintaan dan digemari oleh pelbagai generasi.

Justeru itu, snek lejen turut menjadi pilihan jurukamera, Amirul Azril Ahmad Azmai, 29, untuk dipamer sebagai antara alatan dan menjadi latar bagi majlis perkahwinan beliau di rumah untuk menyemarakkan lagi tema klasik pilihannya.

"Saya wujudkan satu kios menyerupai kedai runcit yang mempamerkan biskut tin, gula-gula serta keropok yang digantung dalam plastik besar khusus untuk kanak-kanak.

"Kios seperti kedai runcit ini banyak mengenangkan tentang jajan dan gula-gula yang saya suka semasa kecil. Alatan lain yang digunakan termasuk kain rentang bertulisan jawi dan kenderaan klasik," katanya kepada Bernama.

Suasana vintaj yang dihidupkan oleh snek lejen ini juga kian menjadi pilihan penganjur pelbagai acara seperti majlis hari jadi dan rumah terbuka yang memilih untuk menempah kios makanan itu untuk tetamu.

Fatein Azrin, 32, yang sudah lima tahun menawarkan perkhidmatan itu pula berkata, penyediaan makanan ringan tersebut memberikan suasana seperti berada di rumah sendiri selain mengurangkan rasa janggal tetamu ketika majlis berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Fatein yang sudah lima tahun menawarkan perkhidmatan itu berkata, penyediaan makanan ringan tersebut memberikan suasana seperti berada di rumah sendiri selain mengurangkan rasa janggal tetamu ketika majlis berlangsung. Foto Fatein Azrin
Fatein yang sudah lima tahun menawarkan perkhidmatan itu berkata, penyediaan makanan ringan tersebut memberikan suasana seperti berada di rumah sendiri selain mengurangkan rasa janggal tetamu ketika majlis berlangsung. Foto Fatein Azrin

Menurut pemilik perniagaan dinamakan 'Kunyahan' itu, pihaknya menawarkan pelbagai snek yang old school seperti biji asam yang lebih berkualiti dan secara peribadi, Fatein percaya makanan itu mengimbau memori indah individu daripada pelbagai peringkat usia.

"Saya sendiri asaskan perniagaan ini berinspirasikan memori zaman kanak-kanak, ia mengingatkan kenangan indah ketika membesar dahulu kerana saya sering minta air soda dalam botol daripada Atok, dulu harganya RM0.20 sahaja, siap ais ikat tepi," katanya.

Snek lejen ini turut membawa tuah kepada peniaga dalam talian Hasana Zaini, 34, sehingga membolehkan beliau mengembangkan perniagaan dan membuka kedai fizikal sejak dua tahun lepas.

"Disebabkan sering mendapat maklum balas dan cadangan daripada pelanggan yang mahu rasa vibe dan feel dulu-dulu apabila dikelilingi susunan semua snek ini secara berdepan, sayapun buka kedai fizikal.

"Walaupun boleh saja pesan dalam talian, ramai yang lebih suka datang ke kedai sebab rasa seronok kerana boleh pilih dan timbang macam kaedah dulu-dulu," katanya.

Bagi penggemar snek lejen Nabilla Fadzillah, walaupun terdapat pelbagai pilihan di pasaran, beliau sanggup berhabis puluhan ringgit sehari demi memastikan biskut pilihan hatinya sentiasa dalam simpanan sebagai makanan ringan.

Penjawat awam berusia 35 tahun itu berkata minat tersebut juga dikongsi daripada generasi neneknya hinggalah kepada anak-anak saudaranya yang turut menggemari makanan tersebut sekali gus menyifatkan ia sebagai antara ejen terbaik dalam merapatkan jurang keluarga pelbagai generasi.

"Sejak kecil lagi saya makan jajan lejen ini kerana ibu bapa yang belikan, sekarang saya pula beli untuk anak-anak saudara," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!