'Risiko kemalangan nuklear besar'

Tiga serangan dilancarkan Ukraine mengenai struktur pembendungan reaktor utama ZNPP. Foto Agensi
Tiga serangan dilancarkan Ukraine mengenai struktur pembendungan reaktor utama ZNPP. Foto Agensi
A
A
A

KIEV - "Serangan dron ke atas salah sebuah reaktor di Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) meningkatkan risiko kemalangan nuklear besar dengan ketara.”

Amaran itu diberikan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi menerusi platform X selepas beliau mengesahkan tiga serangan dilancarkan Ukraine mengenai struktur pembendungan reaktor utama ZNPP.

“Insiden itu tidak seharusnya berlaku," tegasnya sambil menambah ia adalah serangan pertama ke atas kemudahan itu sejak November 2022 apabila beliau menetapkan lima prinsip asas untuk mengelakkan bencana nuklear serius dengan akibat radiologi.

Beliau turut menggesa mana-mana pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang bercanggah dengan lima prinsip IAEA dan membahayakan keselamatan nuklear.

Menerusi kenyataan berasingan, IAEA mengesahkan impak fizikal disebabkan serangan dron itu termasuk ke atas salah sebuah daripada enam reaktor di kompleks nuklear terbesar di Eropah tersebut.

“Kerosakan di Unit 6 bagaimanapun tidak menjejaskan standard keselamatan nuklear, namun ia adalah insiden serius yang berpotensi menjejaskan integriti sistem pembendungan reaktor,” ujarnya.

Sementara itu, pihak berkuasa kompleks itu yang kini dikawal Rusia memberitahu tiada kerosakan kritikal dan tahap radiasi juga berada pada paras normal.

Difahamkan, enam reaktor di ZNPP telah ditutup selama berbulan-bulan, namun ia masih memerlukan bekalan kuasa dan diuruskan staf berkelayakan untuk mengendalikan sistem penyejukan penting dan ciri keselamatan lain. - AFP

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!