Dua lelaki didenda RM8,000 seludup karkas babi

Devaraju (hadapan) dan Raviendran (belakang) tiba di Mahkamah Majistret Setiu, pada Isnin.
Devaraju (hadapan) dan Raviendran (belakang) tiba di Mahkamah Majistret Setiu, pada Isnin.
A
A
A

SETIU - Dua lelaki masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin selepas mengaku salah menyeludup 228 keratan karkas babi seberat 9,120 kilogram (kg) bernilai RM246,240, tahun lepas.

Hukuman itu diputuskan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari selepas tertuduh, S Devaraju Naidu, 38, dan P P Raviendran, 45, mengaku bersalah menyeludup karkas haiwan tersebut yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh didakwa memiliki 228 keratan karkas babi yang dijumpai di dalam kontena sejuk beku tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan, Kampung Pak Kancil, Setiu, jam 3.30 pagi pada 9 November 2023.

Kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 dan boleh dihukum di bawah Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 yang membawa denda maksimum RM10,000.

Selain itu, kedua tertuduh juga berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan karkas babi bernilai RM 246,240 dilupuskan secara tanam oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!