'Kakak masih lagi terbaring kaku'

Fauziah (berdiri) reda yang rayanya tidak lagi seperti dahulu kerana perlu menjaga Jahidah.
Fauziah (berdiri) reda yang rayanya tidak lagi seperti dahulu kerana perlu menjaga Jahidah.
A
A
A

SEREMBAN - Jika Aidilfitri tahun lalu, mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 45, hanya terbaring kaku di rumah, begitu jugalah dengan keadaannya Aidilfitri kali ini.

Keadaan wanita berkenaan yang kini dijaga adiknya, Fauziah, 42, tidak jauh berbeza melainkan tahap kesihatannya yang semakin baik.

Disebabkan itu, tiada lagi istilah beraya buat Fauziah kerana tanggungjawabnya kini lebih tertumpu kepada Jahidah termasuk menjaga anak kakaknya itu, Eshan Nufail yang kini berusia dua tahun empat bulan.

Meskipun begitu kata Fauziah, dia tetap gembira meraikan Aidilfitri kerana masih berpeluang berada di sisi kakaknya.

“Sebenarnya dah enam tahun saya tidak balik kampung di Sabah dan dengan keadaan kakak macam ini sekarang, lagi susahlah saya mahu ke mana-mana.

“Dah masuk tahun ketiga ini, saya reda yang raya kami begini setiap tahun. Lagi pun tidak sanggup saya nak tinggalkan kakak dengan orang lama-lama, ditambah pula dengan upah penjagaan itu yang bukannya murah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setiap kali Aidilfitri, dia hanya berpeluang pergi ke rumah mentuanya di daerah ini dan itu pun tidak lama.

Malah katanya, sejak tragedi menimpa Jahidah, rumahnya menjadi lokasi berkumpul adik-beradiknya yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Anak saya pun selalu tanya bila nak pergi jalan ke sana sini dan mujurlah dia faham bila saya terangkan situasi sekarang.

“Tapi alhamdulillah, doktor beritahu kesihatan kakak makin baik kerana dia tidak lagi demam dan diserang sawan seperti sebelum ini serta tiada lagi luka bedsore di belakang badan,” ceritanya.

Mengenai perkembangan anak Jahidah, menurut Fauziah, anak saudaranya itu sihat dan lasak tetapi masih tidak dapat berdiri serta bercakap.

“Kalau tengok dari segi fizikal, perkembangan Eshan Nufail macam bayi 12 bulan dengan berat badan 7.5 kilogram saja.

“Jadi, dia masih perlu berulang-alik ke hospital berhubung masalah tumbesarannya tetapi yang leganya Eshan Nufail sihat dan doktor juga beritahu yang dia boleh berjalan cuma lambat,” kongsinya.

Ditanya persiapan Aidilfitri untuk kanak-kanak itu pula, kata Fauziah, dia bersyukur kerana ada sahaja insan berhati mulia yang memberi hadiah baju raya untuk Eshan Nufail.

Malah katanya, ramai yang masih setia mengikuti perkembangan Jahidah dan anaknya itu menerusi perkongsiannya di laman sosial.

“Kata-kata semangat dan doa untuk kedua-duanya tidak pernah putus daripada orang ramai. Terima kasih saya ucapkan, saya sangat terharu.

“Saya juga bersyukur kerana suami sangat memahami tanggungjawab saya menjaga kakak, malah suami sudah menganggap Eshan Nufail seperti anak sendiri,” ujarnya.

Fauziah mengakui ada ketikanya dia penat, namun tidak pernah menganggapnya sebagai beban, sebaliknya puas kerana dapat berbakti kepada kakaknya.

Dalam kejadian 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah di kepala, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak akibat dipukul suaminya.

Lebih menyedihkan, ketika kejadian penjawat awam berkenaan sedang mengandung dan anaknya telah selamat dilahirkan secara pembedahan pada 30 November 2021.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bantuan perubatan Jahidah boleh menyumbang melalui akaun bank CIMB, 7617797037 (Fauziah Nordin).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28