Jangan biar Kedah padam daripada peta Liga Super

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. (Gambar kecil: Effendi Jagan)
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. (Gambar kecil: Effendi Jagan)
A
A
A

PEMAIN ke-12 iaitu penyokong-penyokong setia Kedah Darul Aman (KDA FC) dilihat sebagai antara penyelamat terakhir bagi memastikan skuad Kenari tidak padam dari peta Liga Super 2024/25.

Malah menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menyifatkan kekuatan penyokong-penyokong kelab utara tanah air itu merupakan talian hayat terakhir.

Biarpun begitu jelas Effendi, pengurusan KDA FC perlu berani mendedahkan jumlah yang masih diperlukan bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi skuad kendalian Nafuzi Zain pada ketika ini.

“Sejujurnya saya sedih dengan situasi yang berlaku kepada Kedah Darul Aman FC semasa semua pasukan melakukan persiapan untuk musim baharu Liga Malaysia 2024/25.

“Namun saya percaya kekuatan bola sepak Kedah ini adalah dalam kalangan penyokong setia penting dalam memastikan Kedah Darul Aman FC tidak padam dari peta bola sepak Liga Super.

Penyokong-penyokong setia Kedah membanjiri Stadium Darul Aman sebagai tanda sokongan setiap kali perlawanan membabitkan skuad Kenari. Foto Kedah Darul Aman FC.
Penyokong-penyokong setia Kedah membanjiri Stadium Darul Aman sebagai tanda sokongan setiap kali perlawanan membabitkan skuad Kenari. Foto Kedah Darul Aman FC.

“Pilihan terbaik adalah penyokong-penyokong menerusi kelab penyokong masing-masing boleh melakukan pendanaan awam (crowdfunding) sebagai usaha terakhir menyelamatkan pasukan kesayangan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad, sambil menyifatkan pendekatan sama diambil penyokong-penyokong kelab di Eropah ketika pasukan masing-masing berdepan situasi sukar.

First Instance Body (FIB) sebelum ini mengenakan hukuman pemotongan tiga mata saingan Liga Super 2024/25 dan denda RM50,000 terhadap KDA FC selepas gagal membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023.

Artikel Berkaitan:

Malah Lesen Kebangsaan Liga Super 2024/25, KDA FC juga boleh ditarik balik sekiranya gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji itu atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran pada 20 April ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga mengesahkan KDA FC tidak boleh mendaftar pemain-pemain baharu dalam saingan Liga-M musim ini sehingga sekatan perpindahan pemain ditarik balik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengurusan kelab utara tanah air itu perlu terlebih dulu menyelesaikan kes tunggakan gaji membabitkan bekas penyerang importnya (Kipre Tchetche) yang kini di bawah perhatian badan induk bola sepak dunia berkenaan.

Pada masa sama Effendi juga berharap penglibatan lebih banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan syarikat swasta dapat tampil menaja pasukan Hijau Kuning.

“Bola sepak merupakan sukan yang paling dekat dengan hati rakyat negeri Kedah sejak dulu lagi, jadi sokongan lebih banyak dari GLC dan syarikat swasta di Kedah.

“Sokongan juga secara tidak langsung merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam membangunkan secara konsisten sukan bola sepak di negeri Kedah.

“Saya kecewa sekiranya Kedah pasukan seterusnya yang mengikuti jejak langkah Kelantan, Melaka dan Sarawak serta Perlis yang tidak lagi beraksi di liga teratas utama negara,” katanya.

Pada masa sama tegas Effendi, MFL sebagai pentadbir Liga-M masih mampu memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu pasukan yang terjejas dengan isu kewangan ini.

Jelasnya, MFL mungkin boleh mengusahakan pinjaman khas atau geran yang boleh dimanfaatkan pasukan sekiranya berlaku isu tunggakan sebelum saingan liga musim baharu bermula.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28