Polis sedang lengkapkan kertas siasatan terhadap Dr Akmal

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang melengkapkan siasatan kes yang dilaporkan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH, sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan berkenaan dijangka akan disiapkan dalam tempoh tujuh hari bermula Sabtu, selepas Dr Muhamad Akmal ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

"Pada masa ini, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sedang melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

"Kita (polis) menjangkakan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, beberapa hari selepas cuti Hari Raya Aidilfitri berakhir," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kata beliau, kertas siasatan dijangka akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, selepas 15 April ini.

"Dalam melengkapkan proses siasatan ini, polis memerlukan keterangan daripada saksi-saksi berkaitan bagi mengukuhkan fakta untuk tindakan selanjutnya dan ianya turut memakan sedikit masa.

"Segala cadangan untuk tindakan selanjutnya bakal diputuskan oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya, sama ada untuk melakukan pendakwaan terhadap Dr Muhamad Akmal atau mengumpul semula fakta-fakta tambahan lain," katanya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal mengesahkan beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada pagi Jumaat setelah tular video penahanannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Exco Melaka itu, beliau sepatutnya dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!