'Alasan pandu laju bas kerana mahu naik bukit'

JPJ Selangor mengeluarkan saman terhadap pemandu bas menerusi Op HRA pada Jumaat. Foto: JPJ Selangor
JPJ Selangor mengeluarkan saman terhadap pemandu bas menerusi Op HRA pada Jumaat. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandu laju bas kerana mahu melepasi bukit ketika dilaluan pendakian antara alasan diberi pemandu selepas ditahan penguat kuasa pada Jumaat.

Operasi Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu dilakukan menerusi taktik penyamaran sebagai penumpang bermula dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hingga ke Genting Highlands, Pahang.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, dua pemandu lelaki warga tempatan berusia 29 dan 34 tahun telah ditahan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan adalah membabitkan memandu di lorong kanan secara berterusan, tatacara kelakuan pemandu dan kesalahan teknikal.

"Tiga saman dikeluarkan yang mana satu saman kerana memandu di lorong kanan secara berterusan manakala dua lagi saman atas kesalahan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal dan tatacara pemakaian tidak berpakaian kemas (tidak pakai uniform)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu bas terbabit memberi alasan bas dipandu laju kerana mahu lepas untuk daki bukit.

Tambahnya, tindakan mereka turunkan penumpang di luar kawasan terminal juga atas alasan lokasi itu telah berhampiran dengan terminal.

Tegasnya, pemandu bas diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang selamat tiba ke destinasi dituju.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!