'Arwah minta saya belikan kasut bola'

Muhammad Shaharif
Muhammad Shaharif
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kasut bola menjadi permintaan terakhir Muhammad Shaharif Mohd Sarbaini, 16, yang meninggal dunia selepas menjalani latihan merentas desa sejauh 3.8 kilometer petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, pelajar tingkatan 4 Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Sungai Besar itu meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Besar selepas dilaporkan pengsan dalam kawasan sekolah berkenaan.

Bapanya, Mohd Sarbaini Kamarul Baharin, 50, berkata, arwah anaknya itu sempat bersembang dan memintanya membelikan kasut bola baharu pada malam kelmarin.

"Arwah nampak pelik malam sebelum kejadian. Biasanya arwah serius, tapi malam itu dia bergurau dengan saya.

"Saya bertanya kepada arwah sama ada dia inginkan sesuatu, arwah tersenyum dan maklumkan dia inginkan kasut bola untuk digunakan semasa pemilihan pemain bola sepak sekolahnya," katanya.

Mohd Sarbaini yang menetap di Parit 8 Sungai Besar berkata, dia terkilan kerana tidak sempat membeli kasut bola seperti dihajati Muhammad Shaharif.

"Saya memang berhasrat hendak beli kasut bola untuknya, tapi takdir menentukan arwah pergi dahulu meninggalkan kami sekeluarga," katanya.

Ujarnya, Allahyarham Muhammad Shaharif seorang yang aktif dalam sukan termasuk mewakili sekolah ke peringkat negeri dalam sukan kriket.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan arwah sempat menamatkan latihan merentas desa dan menduduki tempat keempat.

"Sejurus arwah sampai (menamatkan larian) ke sekolah, rakannya memberitahu Muhammad Shaharif terus mendapatkan air dan baring di beranda surau.

"Rakannya menghampiri arwah pada mulanya menyangka Muhammad Shaharif terlalu penat tapi terkejut apabila mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Katanya, dia yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Sungai Besar dihubungi seorang guru memaklumkan anaknya pengsan selepas latihan merentas desa dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar.

"Namun, segalanya berakhir apabila pegawai perubatan mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia.

"Saya reda dengan ketentuan ALLAH kerana arwah merupakan anak yang baik dan mendengar kata," katanya.

Katanya, jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap jam 10.20 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

"Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.