Petani cedera tapak tangan, senapang angin 'makan tuan'

Seorang petani cedera di tapak tangan kiri selepas tertembak senapang angin. Gambar haisan
Seorang petani cedera di tapak tangan kiri selepas tertembak senapang angin. Gambar haisan
A
A
A

KENINGAU - Senapang angin yang dibeli dengan harga murah dari Indonesia hampir 'makan tuan' apabila tangan seorang petani cedera akibat tertembak sendiri dalam kejadian di kawasan ladang Kampung Mantanid, Tulid, Sook pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki berusia 34 tahun tersebut cedera pada tapak tangan kiri dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan daripada unit kecemasan hospital memaklumkan terdapat pesakit yang dirujuk kepada mereka dengan kecederaan di tapak tangan akibat tertembak sendiri.

"Susulan itu, siasatan telah dilakukan dan mendapati lelaki tersebut keluar memburu tupai di kawasan ladang dengan menaiki motosikal sambil membawa senapang angin.

"Ketika menuruni cerun berbukit, mangsa telah tergelincir dan menyebabkan picu senapang angin terganggu sehingga menyebabkan letupan dan terkena pada tapak tangan kirinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, lelaki tersebut yang dalam kesakitan terpaksa berpatah balik ke arah motosikalnya untuk pulang ke rumah.

"Sebaik tiba di rumah, senapang angin itu terus disembunyikan di dalam stor sebelum isterinya bertindak membawanya ke Klinik Sook serta dirujuk ke Hospital Keningau.

"Ketika di hospital, peluru didapati tidak menembusi tapak tangan namun lelaki tersebut terpaksa menjalani pembedahan di hospital tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yampil berkata lagi, lelaki tersebut terpaksa ditahan pada Jumaat untuk disiasat di bawah 37 Akta Senjata Api 1960.

"Hasil siasatan lanjut, lelaki tersebut memaklumkan senapang angin itu dibeli di Indonesia pada tahun lalu dengan harga kira-kira RM250.

"Senapang tersebut turut dirampas bersama 83 butir palet senapang angin," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28