Ahli Parlimen Bukit Gantang tenang, bersedia apa jua kemungkinan

Syed Abu Hussin Hafiz
Syed Abu Hussin Hafiz
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjelaskan sebagai seorang ahli politik, beliau perlu sentiasa bersedia dalam apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.

Menurutnya, setakat ini beliau masih menunggu surat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pindaan perlembagaan parti itu bagi pelucutan keahlian parti ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak dan bertentangan dengan parti atau musuh.

"Kita tenang sebab kita tahu kita memang ahli parti dan perlu tunggu surat tunjuk sebab itu.

“Nak tengok surat itu dahulu, sebagai seorang ahli politik kita bersedia sahaja apa pun yang akan berlaku, kita bersedia.

"Tetapi kita nak tengok apa jawapan dan sebagai seorang ahli politik yang hanya bukan sahaja berkhidmat pada waktu tertentu kita bersedia apa jua kemungkinan,” katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) bersama Johari (tiga dari kanan) dan Dr Mohammed Taufiq (dua dari kiri) di Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Taman Rekreasi Bandar Perdana, Sungai Petani pada Sabtu.
Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) bersama Johari (tiga dari kanan) dan Dr Mohammed Taufiq (dua dari kiri) di Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Taman Rekreasi Bandar Perdana, Sungai Petani pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Taman Rekreasi Bandar Perdana, di sini.

Program dirasmikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dipinda selepas diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelulusan itu membolehkan parti mengambil langkah seterusnya, iaitu mengosongkan enam kerusi Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac pula, seorang Adun Bersatu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!