Pindaan perlembagaan Bersatu, UMNO Perak sedia hadapi PRK

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak sedia memasuki gelanggang sekiranya pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membolehkan pilihan raya kecil (PRK) peringkat Parlimen diadakan di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya bagaimanapun masih tidak jelas sama ada pindaan itu memberi kesan terhadap enam ahli Parlimen termasuk dua dari Perak berikutan pindaan itu berkuat kuasa, Isnin lalu.

Menurutnya, sebarang keputusan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada ia turut melibatkan Akta Anti Lompat Parti.

"Saya tidak pasti sama ada pindaan itu memberi kesan atau tidak kepada enam yang terlibat kerana pindaan itu tidak 'backdated', ia bukan dikuatkuasakan sebelum (sokongan dinyatakan).

"Tetapi pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat akan membuat keputusan sama ada mereka terlibat terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti. Jika terkesan dengan akta itu bermakna mereka gugur (ahli Parlimen).

"Apabila ada PRK, UMNO kena bersiap sedia memasuki gelanggang. Jika tidak ada pun tiada masalah, kita buat persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-16," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sempurnakan Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Saarani beramah mesra dengan wakil pasukan yang hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.
Saarani beramah mesra dengan wakil pasukan yang hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Sinar Harian melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sebelum itu, Saarani menyerahkan 11,000 bungkusan Juadah Hari Raya untuk diedar kepada pasukan beruniform sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan dan pasukan badan beruniform yang bertugas di sepanjang masa Aidilfitri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!