Muhammad Haikal idam tembusi kelompok 20 terbaik dunia

Beregu lelaki meningkat naik Muhammad Haikal-Hon Jian menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 20 terbaik hujung tahun ini. Foto fail Bernama
Beregu lelaki meningkat naik Muhammad Haikal-Hon Jian menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 20 terbaik hujung tahun ini. Foto fail Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki meningkat naik, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 20 terbaik hujung tahun ini.

Muhammad Haikal berkata, pencapaian menghuni 30 terbaik dunia bulan lepas melonjak semangatnya untuk memburu lebih banyak gelaran termasuk pada kejohanan bertaraf Super 750 dan Super 1000 sekali gus merealisasikan impian mengejar kedudukan tertinggi dalam karier mereka pada penghujung musim ini.

"Selama ini kami main Super 100 dan Super 300 tidak berdebar sangat. Kami berpasangan pun tak lama tetapi sudah berjaya masuk kelompok 30.

"Memang teruja mahu sertai kejohanan besar (Super 750 dan Super 1000) dan dapatkan lagi banyak gelaran. Semakin besar taraf kejohanan, semakin tinggi motivasi saya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini pada Jumaat.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata akan segera bangkit daripada kejatuhan memandangkan setiap pasangan mengalami pasang surut dari segi prestasi masing-masing.

Muhammad Haikal berkata, mengejar kedudukan tertinggi dalam ranking dunia selain menjadi antara pasangan utama negara sememangnya menjadi misi utama beliau dan Hon Jian sejak digandingkan Ogos lepas.

Muhammad Haikal-Hon Jian setakat ini telah mengumpul tiga gelaran Jelajah Dunia bermula dengan dua kejuaraan di India masing-masing pada Cabaran Antarabangsa Syed Modi India 2023 berstatus Super 300 pada November, Masters Guwahati (Super 100) Disember lepas dan terkini, mengungguli saingan Masters Orleans 2024 di Perancis, bulan lepas.

Dalam pada itu, pemain dari Kelantan itu mengakui persaingan dalam kem beregu lelaki negara juga cukup sengit untuk merebut tempat ke Piala Thomas 2024, dijadual berlangsung pada 27 April hingga 5 Mei di Chengdu, China.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka perlu berdepan cabaran juara dunia 2022 dan pasangan ranking kelima Aaron Chia-Soh Wooi Yik diikuti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ranking ke-18), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ranking ke-19) dan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (ranking ke-50) dalam usaha memikat hati barisan jurulatih untuk menyenaraikan mereka ke Piala Thomas 2024.

Malaysia, yang turun selaku pilihan kelima Piala Thomas 2024 diletakkan dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah dan juara 2016 Denmark selain Hong Kong dan pasukan dari benua Afrika, Algeria. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28