Muhammad Haikal tidak pernah lekang beri duit raya

Muhammad Haikal (kanan) bersama Hon Jian. Foto BAM
Muhammad Haikal (kanan) bersama Hon Jian. Foto BAM
A
A
A

SABAN tahun tradisi pemberian duit raya sudah menjadi tradisi dalam kalangan kaum Melayu yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan perkara itu juga bukanlah asing buat diri beregu badminton lelaki meningkat naik Muhammad Haikal Nazri.

Jauh di sudut hati Muhammad Haikal, 21, tiada apa yang lebih mengujakan beliau yang tidak pernah lekang memberikan duit raya yang kini memasuki tahun ketiga buat sanak saudara terdekatnya apabila pulang ke kampung halaman.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, bergelar pemain badminton negara memberinya peluang untuk meneruskan tradisi kaum Melayu sama seperti orang lain, apabila seseorang itu meningkat dewasa dan mempunyai kerjaya.

“Ikutkan ini tahun ketiga saya berikan duit raya. Beri duit raya ni berikan satu perasaan yang seronok sebenarnya sebab masa kecil dulu selalu kita yang dapat kini tiba giliran saya pula buat sebaliknya.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang berada, namun setakat ini saya mampu untuk berikan kepada saudara-mara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut atlet kelahiran Kelantan itu, pemberian duit raya itu dalam masa sama turut diberikan kepada orang lebih tua dalam kalangan sanak saudaranya termasuk pakcik dan makciknya.

“Tapi saya tahu mereka tidak usik pun duit pemberian itu namun mendoakan saya untuk terus berjaya dalam sukan badminton. Mungkin doa mereka itulah yang buat saya kecapi apa yang ada sekarang ini,” katanya.

Juara Masters Orleans 2024 bersama Choong Hon Jian itu pada masa sama teruja menantikan pengumuman sambutan Hari Raya Aidilfitri dijangka malam esok dengan juadah roti jala, lemang, dan ketupatnya menjadi makanan cukup dinanti-nantikan pada hari kemenangan buat umat Islam itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28