Dr Mahathir sedia lepas jawatan PM serta-merta

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi dialog semasa hadir pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 hari ini. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi dialog semasa hadir pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya serta-merta jika diminta berbuat demikian oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, perkara itu perlu diputuskan secara bersama dengan kesemua parti dalam PH.

"Saya fikir ini akan diputuskan oleh empat parti (PH) bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak pergi.

"Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini.

Tempoh serahan itu dicadangkan bagi membolehkan Anwar mendapat tempoh yang cukup untuk melaksanakan sebarang perubahan setelah menjadi perdana menteri.

Perkara itu dibangkitkan melalui satu forum bertajuk "Haruskah Malaysia tunggu sehingga November untuk peralihan kuasa?" di Bangsar semalam.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, beliau akan menghormati janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

Artikel Berkaitan: