Reversi wakil tunggal Malaysia ke Festival Filem Far East Udine

Beto dan Shiqin merupakan tunggak utama Reversi.
Beto dan Shiqin merupakan tunggak utama Reversi.
A
A
A

FILEM terbaharu arahan pengarah prolifik Adrian Teh berjudul Reversi, telah dipilih sebagai wakil tunggal Malaysia ke Festival Filem Far East Udine ke-26 di Itali, yang akan berlangsung dari 24 April hingga 2 Mei 2024.

Sebelum ini filem Abang Adik pernah merangkul anugerah di festival filem tersebut pada tahun 2023.

Mengungkapkan kegembiraannya mengenai pemilihan ini, Adrian berkata, pencalonan itu merupakan satu penghormatan buatnya untuk sekali lagi mewakili Malaysia pada edisi tahun ini.

"Reversi akan membuat premier dunianya di Itali, adalah satu usaha baharu bagi saya.

"Saya sangat beruntung dapat bekerjasama dengan kumpulan pelakon dan kru yang luar biasa.

"Cerita ini adalah tentang cinta dan kehilangan serta tentang apa yang akan terjadi jika kita diberikan peluang kedua.

"Saya berharap untuk berkongsi cerita ini bukan hanya dengan rakyat Malaysia, tetapi juga dengan penonton dunia dengan harapan cerita ini akan memberi inspirasi kepada kita untuk menghargai kehidupan dan orang yang kita sayang," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Adrian Teh
Adrian Teh

Reversi mengisahkan cinta seorang suami yang tidak berkesudahan kepada isteri dan anak lelakinya, berusaha sehabis baik untuk membetulkan kesalahannya pada masa lalu bagi masa depan yang lebih baik.

Filem ini menandakan percubaan pertama Adrian dalam genre drama dengan elemen perjalanan masa.

Naskhah tersebut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran dan Hasnul Rahmat.

Bercerita lanjut mengenai Reversi, pengarah Paskal dan MALBATT: Misi Bakara itu berbangga dengan filem itu dan berjanji bahawa ini adalah karya yang belum pernah dilihat oleh rakyat Malaysia.

"Reversi bersedia untuk memikat penonton dari semua peringkat umur dengan penceritaan yang lebih mendalam dan lakonan yang menyentuh hati," katanya.

Filem terbitan bersama oleh ACT 2 Pictures, Clover Films dan Golden Screen Cinemas akan menemui penonton di Malaysia pada tahun ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28