Anak Ketua Balai Polis Lukut maut digilis kereta

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan petang semalam. -FOTO: IHSAN PEMBACA
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan petang semalam. -FOTO: IHSAN PEMBACA
A
A
A

PORT DICKSON - Anak bongsu Ketua Balai Polis Lukut, Sub Inspektor Zazali Tawil maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Seremban-Port Dickson petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa, Mohamad Safwan Zazali, 21, mengalami kecederaan parah di kepala selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak sebelum digilis kenderaan yang datang dari arah Seremban.

Bapa mangsa, Zazali, 59, berkata, anak bongsunya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kolejnya di MSU College Seremban.

"Semalam arwah beritahu ada aktiviti memanjat bukit bersama rakan sekuliah di sekitar Seremban, dia memang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

"Tiada tanda pelik yang ditunjukkan arwah, tingkah lakunya seperti biasa sehinggalah kami menerima berita kemalangan ini.

"Apa yang berlaku ini adalah ketentuan Tuhan. Kami sekeluarga reda dan akan sentiasa berdoa agar rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Seremban cuba memotong sebuah kereta, lalu bertembung dengan sebuah lori satu tan dan tercampak ke atas jalan sebelum digilis sebuah kereta dari arah yang sama ke Port Dickson.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raja Jumaat di Lukut malam semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh tampil di mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.