Dua beradik didakwa samun, rompak berkumpulan

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan tukul besi terhadap pekerja stesen minyak warga Bangladesh, dua bulan lalu.

Dua beradik itu ialah Muhammad Nasrul Wafiy Harizan, 32, dan Muhammad Khairul Anuar, 30, serta rakan mereka Dzulkifli Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu terhadap seorang lelaki berusia 49 tahun hingga menyebabkan kerugian RM5,500 membabitkan 17 kotak rokok, cermin kedai dan wang tunai.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada jam 4.16 pagi pada 6 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar serta seorang lagi rakan mereka, Syazwan Sazali, 34, mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan samun berkumpulan, dua minggu lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, di hadapan sebuah sekolah di Jalan Jambu Jinjang Selatan, Sentul di sini pada jam 2.20 petang, 24 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip manakala pembelaan Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar diwakili peguam, Arief Firdaus Ashikin.

Dua tertuduh lain iaitu Dzulkifli dan Syazwan, tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28