Logo kasut mirip kalimah ALLAH: Polis buka kertas siasatan

Tan Sri Razarudin Husain
Tan Sri Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah ALLAH pada tapaknya yang tular di media sosial, pada Ahad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun di Pulau Pinang.

"Pengadu menyatakan pada jam 4.32 pagi terlihat satu hantaran di Facebook dibuat berkaitan satu bentuk penghinaan ke atas kalimah ALLAH.

“Menerusi hantaran tersebut, tertera satu bentuk dan lambang menyerupai kalimah ALLAH di tapak kasut berjenama. Hantaran tersebut telah di kongsi kira-kira 8,000 orang," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Razarudin berkata, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

"Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Razarudin berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengenai kes tersebut.

“Kita akan mengesan saksi-saksi berkaitan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan menerusi video yang tular, seorang lelaki mendakwa terkejut dengan kasut yang dibelinya yang memaparkan logo dipercayai mirip kalimah ALLAH.

Pelayar Facebook, Mohd Haridz yang membeli sepasang kasut untuk isterinya di sebuah pusat membeli-belah di Kuantan mendedahkan terdapat seakan perkataan ALLAH pada tapak kasut itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28