MAIDAM terima serahan zakat lebih RM12 juta

Shaikh Harun (empat dari kanan) bersama 35 wakil syarikat yang menyerah zakat perniagaan
Shaikh Harun (empat dari kanan) bersama 35 wakil syarikat yang menyerah zakat perniagaan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima serahan zakat perniagaan daripada 35 buah syarikat berjumlah RM12.46 juta di Hotel Paya Bunga di sini pada Khamis.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berterima kasih kepada kesemua syarikat berkenaan kerana mempunyai rasa tanggungjawab dalam menunaikan Rukun Islam keempat itu.

"Alhamdulillah, jumlah serahan zakat perniagaan diterima adalah sebanyak RM12,458,807.50 daripada 35 buah syarikat.

"Semoga ALLAH mengurniakan sebaik-baik ganjaran pahala ke atas zakat yang dikeluarkan dan memberkati perniagaan serta menjadikan harta yang bersih kepada semua pembayar zakat.

Wakil dari Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd (tengah) menyerahkan mock cheque berjumlah RM3.67 juta kepada Shaikh Harun (kanan).
Wakil dari Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd (tengah) menyerahkan mock cheque berjumlah RM3.67 juta kepada Shaikh Harun (kanan).

"Didoakan juga menerusi zakat yang ditunaikan maka perniagaan semua syarikat semakin maju dan memperoleh keuntungan berlipat ganda," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Sempena Ramadan di Hotel Paya Bunga di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, jumlah pungutan zakat setakat 2 April lepas adalah sebanyak RM49.48 juta manakala agihan zakat telah dilaksanakan sebanyak RM84.2 juta.

"Agihan ini dilaksanakan melalui skim-skim bantuan zakat yang disediakan seperti bantuan sara hidup, bina rumah, persekolahan, perubatan, perniagaan dan beberapa bantuan lain.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah... agihan yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan asnaf di Terengganu," jelasnya.

Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd merupakan pembayar zakat tertinggi iaitu sebanyak RM3.67 juta.
Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd merupakan pembayar zakat tertinggi iaitu sebanyak RM3.67 juta.

Dalam pada itu, Shaikh Harun menyatakan, selain menunaikan zakat, umat Islam juga digalakkan untuk berwakaf kerana ia merupakan salah satu bentuk amal jariah yang diberikan ganjaran pahala berlipat ganda oleh ALLAH SWT.

"Selaku pemegang amanah tunggal wakaf di Terengganu, MAIDAM telah melaksanakan beberapa pembangunan ke atas harta wakaf seperti Pusat Hemodialisi Wakaf MAIDAM dan Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga.

"Jadi saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berwakaf tunai agar lebih banyak lagi hartanah wakaf di negeri ini dapat dibangunkan bagi kemudahan umat Islam," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28