Tiada pihak tampil minta maaf, MUIS serah kepada peguam

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PAPAR - Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan menyerahkan kepada peguam berhubung sebarang tindakan perundangan yang bakal diambil susulan tiada pihak yang tampil memohon maaf kepada badan tersebut seperti yang dituntut pada Selasa lalu.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi MUIS yang diadakan pada Khamis.

"Kita serahkan kepada peguam kita. Dia (pihak menyebarkan tuduhan) pun telah melantik peguamnya jadi apa yang berlaku, peguam kita akan berbincang dengan peguam dia, tindakan seterusnya kita akan mendapatkan nasihat daripada peguam kita.

"Saya tidak boleh bercakap lebih dari itu sebab kes ini kita telah serahkan kepada pihak polis dan yang berkenaan dan kita pun memanggil peguam, apa-apa pun kita akan diberi nasihat oleh peguam," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Bersama Anak Yatim di kediamannya di Kuala Putatan di sini pada Khamis.

Yahya ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis iftar dikediamannya di Putatan.
Yahya ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis iftar dikediamannya di Putatan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan berhubung tuntutan MUIS mengenai pihak yang membuat tuduhan kepada badan tersebut supaya meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam sejak Selasa.

Yahya dalam pada itu berharap perkara sedemikian tidak berlaku lagi di masa hadapan membabitkan pegawai atau kakitangan MUIS.

"Sebab kita telah diberi amanah apa pun berlaku perlunya kita berbincang dan kita buat seperti keluarga kerana MUIS adalah badan agama dan perkara zakat ini amat sensitif.

Artikel Berkaitan:

"Bila kita dituduh menyalahgunakan zakat, ini amat sensitif ia akan menjatuhkan imej MUIS sebagai satu institusi agama yang dihormati.

"Malah kita baru saja dipuji dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa empat tahun berturut-turut kita mendapat sijil audit yang bersih dan pengurusan kewangan yang baik tetapi dapat pula perkara seperti ini jadi tidak eloklah," katanya.

Yahya ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis iftar dikediamannya di Putatan.
Yahya ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis iftar dikediamannya di Putatan.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan MUIS menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pihak yang menuduh badan tersebut dalam tempoh 24 jam sebelum tindakan perundangan diambil.

MUIS sebelum ini tampil menafikan tuduhan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUIS telah membuat beberapa arahan pembayaran bonus kepada kakitangan MUIS dengan menggunakan sumber Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

Tuduhan tersebut juga turut mendakwa kononnya CEO MUIS telah mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!