Abdul Wahid ketuai penerima pingat

Abd Wahid Omar
Abd Wahid Omar
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar mengetuai senarai 444 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pada upacara yang berlangsung di Balairung Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini juga, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah yang sama, Pengarah Pejabat Wilayah Majlis Sains Antarabangsa (ISC) untuk Asia dan Pasifik, Profesor Emerita Datuk Dr Mazlan Othman.

Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk kepada 14 penerima iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Pegawai Kewangan negeri, Mohd Khidir Majid, Ketua Hakim Syarie negeri, Abas Nordin, Ketua Polis negeri Datuk Mohamad Mat Yusop, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Executive Director Of The United Nations Human Set Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif serta Panglima Medan Timur Tentera Darat Kem Muara Tuang, Sarawak, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Turut menerima darjah DPNS ialah Naib Canselor UKM Profesor Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, peguam Edlin Ghazaly dan tiga ahli perniagaan iaitu Hassanal Hassan, Datuk Abdul Halim Mohd Tahir dan Lim Kian Onn.

Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima iaitu Ketua Eksekutif Antah Healthcare Group Tunku Mohamed Alauddin Tunku Laxamana Naquiyuddin, bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Dr Zukri Samat dan Aktivis Kanak-Kanak UNCHR dan UNICEF Dr Hartini Zainuddin.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan M Ravi, Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik Hospital Serdang Dr Mohamad Arif Muhammad Nor dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Zainal Abidin Yang Razalli, pula adalah antara 20 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) diterima oleh penerima tunggal iaitu Bendahari Kehormat Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah King George V, Lee Seng Giap.

Selain itu seramai 17 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) dan 18 orang menerima Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) manakala 15 orang lagi menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).