IKTBN Dusun Tua tawar kursus penyelenggaraan EV dan hibrid

Hannah. Foto Bernama
Hannah. Foto Bernama
A
A
A

HULU LANGAT - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua telah menawarkan kursus Penyelenggaraan Kenderaan Elektrik (EV) dan Hibrid bermula Februari tahun ini bagi meningkatkan lagi daya saing golongan belia dalam sektor EV.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pengambilan pertama bagi kursus itu melibatkan 30 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berumur 18 hingga 30 tahun.

"Pada 2025, kita jangkakan sebanyak 200 orang pelajar sepenuh masa akan dilatih di IKTBN Dusun Tua, IKTBN Chembong dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dalam kursus EV.

"Manakala, 500 orang belia termasuk pekerja akan dilatih dalam kursus reskilling EV melalui program 'Skills For Life' yang dilaksana di ketiga-tiga Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ILKBS Sebagai Pelaksana Rintis Kursus EV dan Hibrid di IKTBN di sini pada Khamis.

Hannah berkata, KBS komited untuk menambah baik dan menawarkan kursus-kursus berkualiti seiring perubahan teknologi terkini bagi memastikan golongan belia lebih berdaya saing, relevan dan menepati keperluan industri.

Beliau turut menyaksikan majlis Menandatangani Dokumen Persefahaman (MoU) antara IKTBN Dusun Tua dengan Sunway Berhad dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

Menerusi MoU itu, Hannah berkata, kerjasama kukuh antara IKTBN dan pemain industri dapat dilaksanakan bagi menambah baik kurikulum, berkongsi kepakaran dan teknologi sekali gus, membuka peluang pekerjaan serta latihan industri kepada lepasan kursus EV dan hibrid.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, terdapat tiga ILKBS yang menawarkan kursus berkaitan EV dan hibrid iaitu di IKTBN Dusun Tua (penyelenggaraan), IKTBN Chembong (pengenalan dan keselamatan) dan IKBN Jitra (penyelenggaraan motosikal EV).

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!