KBS larang pemasangan struktur pentas konsert di padang SNBJ

KBS keluarkan satu moratorium jangka pendek untuk halang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di padang SNBJ sehingga kondisi rumput mencapai tahap baik. Gambar fail
KBS keluarkan satu moratorium jangka pendek untuk halang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di padang SNBJ sehingga kondisi rumput mencapai tahap baik. Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu moratorium jangka pendek telah dikeluarkan untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik.

Perkembangan itu disahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang menyatakan moratorium itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh susulan hasil mesyuarat pascanilai pada 1 April lepas.

Menurut PSM, mesyuarat yang dipengerusikan Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John itu membincangkan keadaan padang Stadium Nasional ketika perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman bulan lalu.

"Susulan daripada hasil pascanilai itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di atas rumput sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada penganjur konsert pada sesi dialog antara menteri dan para penganjur konsert semalam,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut PSM, sesi dialog itu juga turut membincangkan langkah yang boleh diambil perbadanan itu untuk menyediakan fasiliti yang lebih sempurna.

Dalam pada itu, PSM memaklumkan penganjur masih boleh membuat tempahan, namun sebarang struktur pentas dan menara bunyi adalah dilarang di atas padang.

"Ini merupakan langkah untuk tidak menjejaskan rumput di SNBJ dan memastikan rumput berada dalam keadaan optimum untuk perlawanan bola sepak yang akan datang,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan padang SNBJ menjadi perdebatan hangat sebelum ini susulan tular sebuah video dan gambar permukaan padang yang rosak selepas penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.

Malah isu sama turut berlaku pada November tahun lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan sekali gus mengakibatkan permukaan padang rosak meskipun rumput jenis Zeon Zoysia itu baru ditukar.

Selain itu, pasukan Malaysia dan Oman turut tidak dibenarkan berlatih sehari sebelum pertembungan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.- Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

KBS larang pemasangan struktur pentas konsert di padang SNBJ #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #KBS #SNBJ #PSM #Pentas #Konsert #Stadium #HannahYeoh

original sound - Magical Messi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!