Kerajaan Persekutuan peruntuk RM8.9 bilion untuk negeri

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kewangan Negara telah bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri bagi tahun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara persetujuan yang dicapai ialah menyediakan peruntukan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri kira-kira RM8.9 bilion.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding RM8.3 bilion pada tahun 2023 dan RM8.1 bilion tahun 2022.

“Antara peningkatan pemberian sebagaimana yang diumum dalam Belanjawan 2024 termasuklah peningkatan pemberian penyenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion, berbanding RM5.2 bilion pada tahun 2023.

“Selain itu, pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta serta kenaikan pemberian pindahan fiskal ekologi (EFT) kepada RM200 juta, berbanding RM150 juta pada tahun 2023.

“Bagi penambahan pemberian khas tahunan kepada Sarawak dan Sabah pula sebanyak RM300 juta, berbanding RM16 juta untuk Sarawak serta RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023 manakala peningkatan pemberian kepada perpustakaan dan muzium negeri sebanyak 10 peratus pada tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 itu dipengerusikan Anwar yang juga Menteri Kewangan dan turut dihadiri menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Ujar beliau, Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

“Peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia ini akan diberikan secara serentak. Besarlah harapan saya agar ia dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” jelasnya.

Selain itu, bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri, berbanding RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.

Jelas Anwar, kelulusan permohonan kerajaan negeri telah diberikan berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

“Dalam hal ini, Majlis Kewangan Negara meluluskan supaya pembelian jambatan sementara Bailey menggunakan peruntukan pemberian penyenggaraan jalan negeri secara sekali beri bagi tahun 2024.

“Kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri pula sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah,” katanya.

Anwar menegaskan, Kerajaan Madani terus bertekad memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua kerajaan negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia.

Hasrat ini jelasnya, dizahirkan melalui peningkatan pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan perbelanjaan pembangunan di semua negeri untuk tahun 2023 dan 2024.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28