Pelupusan sisa pepejal dijangka cecah 1,400 tan sehari menjelang Aidilfitri

Sharudin (dua dari kiri) menyantuni tetamu dan pengamal media yang hadir pada majlis berbuka puasa SWCorp Pahang pada Rabu.
Sharudin (dua dari kiri) menyantuni tetamu dan pengamal media yang hadir pada majlis berbuka puasa SWCorp Pahang pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Pelupusan sisa pepejal di Pahang dijangka meningkat sehingga 1,400 tan sehari menjelang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, peningkatan itu dianggarkan antara lima hingga 10 peratus berbanding pada hari biasa sekitar 1,200 tan sehari ketika ini.

Menurutnya, kadar pelupusan itu dijangka kembali menurun seminggu selepas Aidilfitri berdasarkan data yang dikeluarkan pada tahun lalu.

"Berdasarkan data tahun lalu, jumlah pelupusan sampah dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri mencecah 8,990.43 tan dan menurun kira-kira 13 peratus kepada 7,865.72 tan seminggu selepas hari raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar #Ops Raya bersama Alam Flora dan Majlis Berbuka Puasa SWCorp Pahang di sini pada Rabu.

Sharudin berkata, pihaknya dan syarikat konsesi Alam Flora Sdn Bhd telah mengatur sinergi dan strategi bagi kerja-kerja kutipan sisa pepejal menjelang Aidilfitri yang dijangka pada 10 April ini.

"Antaranya perubahan sementara jadual kutipan sisa pepejal dalam #Ops Raya Bersama Alam Flora melibatkan 1,342 lokasi di 10 daerah kecuali Cameron Highlands.

"Perubahan jadual itu bermula pada 7 April dan kembali seperti biasa pada 11 April 2024 bagi daerah Kuantan, Pekan, Rompin, Muadzam Shah, Maran dan Jerantut manakala bagi daerah Bera, Temerloh, Bentong dan Lipis pada 14 April," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tiada limpahan atau longgokan sampah pada musim perayaan ini.

"Seramai 3,500 petugas dan 250 jentera kutipan akan ditugaskan bagi menjalankan kerja-kerja kutipan sisa pepejal serta pukal di sepanjang tempoh perayaan di seluruh daerah di Pahang.

"Selain itu, sebanyak 11 tong roro akan ditempatkan secara sementara bermula 6 hingga 10 April di taman-taman terpilih bagi menampung keperluan janaan sisa di lapangan," ujarnya.

Sharudin berkata, pihaknya juga akan menyediakan lori tambahan sekiranya diperlukan.

"Kerja-kerja pembersihan tujuh kawasan tong pusat di sekitar Beserah dan Balok akan dilakukan pada malam sebelum raya bagi memastikan tiada longgokan sampah pada paginya," ujar beliau.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai terutama penduduk taman-taman perumahan memastikan agar kenderaan yang diparkir di luar pagar tidak menghalang laluan lori sampah bagi mengelak kelewatan kutipan.

"Pada masa sama, bagi kawasan yang mengalami kacau ganggu haiwan liar juga diminta menguruskan sisa sampah dengan meletakkan ke dalam tong dengan sempurna bagi mengelak ia bertaburan akibat diselongkar," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!