Polis masih buru saki baki kumpulan penjenayah kejam

Hussein. Laporan Sinar Harian
Hussein. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Polis masih memburu saki baki kumpulan penjenayah yang ditembak mati di Persiaran Harmoni, Putra Heights Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ini telah dikenal pasti dan usaha memburu suspek giat dijalankan.

"Setakat ini tiada tangkapan terkini berkaitan mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah terbabit.

"Siasatan masih dijalankan dan usaha pihak polis dalam mengesan dan memburu mereka yang terlibat tidak pernah terhenti serta sentiasa giat dilaksanakan dari masa ke masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Hussein turut meminta agar orang ramai tidak sewenangnya mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan dijalankan.

"Berikan ruang kepada polis untuk jalankan siasatan, jangan timbulkan sebarang persepsi terhadap siasatan.

"Jangan menyebar sesuatu perkara yang tidak tepat kepada orang lain, biar polis siasat kes ini, kalau ada sebarang maklumat, hubungi terus pihak polis," katanya.

Pada Sabtu, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, polis menembak mati lima penjenayah di Persiaran Harmoni, Putra Heights, di sini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek sebelum itu menaiki sebuah kereta Perodua Axia, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kereta dinaiki mereka kemudiannya ditahan bagaimanapun kesemua suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pihak polis sebelum ditembak mati dalam kejadian terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!