Pengadil FAM terus dapat kepercayaan negara luar

Tuan Mohd Yaasin dan Mohd Hariff akan bertugas pada saingan Piala Emas Bangabandhu. - Infografik FAM
Tuan Mohd Yaasin dan Mohd Hariff akan bertugas pada saingan Piala Emas Bangabandhu. - Infografik FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar dua pengadil tempatan untuk bertugas pada Kejohanan Piala Emas Bangabandhu 2020 di Dhaka, Bangladesh yang bakal berlangsung dari 15 hingga 25 Januari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, dua pengadil berkenaan iaitu Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, 28, dan penolong pengadil, Mohd Hariff Md Akhir, 33, telah berlepas ke Dhaka hari ini.

Menurutnya, ia bagi memulakan tugas dan persediaan menjelang aksi pembukaan kejohanan berkenaan di antara Bangladesh dengan Palestin, Rabu ini.

"Penghantaran dua pengadil berkenaan yang merupakan pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), diputuskan selepas mendapat permohonan daripada Persekutuan Bola Sepak Bangladesh (BFF)," menurutnya dalam satu hantaran terbaru di laman Facebooknya hari ini.

Kejohanan bola sepak jemputan berkenaan yang dibahagikan kepada Kumpulan A melibatkan Palestin, Bangladesh dan Sri Lanka manakala Kumpulan B iaitu Mauritius, Seychelles dan Burundi.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir. Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bangabandhu. - Bernama

Artikel Berkaitan: