Ahli Parlimen pembangkang ‘korban’ separuh gaji untuk rakyat - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli (kanan) yang melawat Loji Rawatan Air di Kelar, Pasir Mas, sebelum ini. Foto Sinar Harian
Ahmad Fadhli (kanan) yang melawat Loji Rawatan Air di Kelar, Pasir Mas, sebelum ini. Foto Sinar Harian
A
A
A

PASIR MAS - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengakui tidak mustahil ada wakil rakyat pembangkang tergolong dalam kalangan B40 kerana terpaksa ‘mengorbankan’ separuh daripada gaji sendiri demi memenuhi amanah kepada rakyat.

Ahmad Fadhli mendakwa, ahli-ahli Parlimen pembangkang dinafikan hak untuk mendapatkan peruntukan pembangunan berbanding ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan yang diberi RM1.3 juta setahun.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

“Kami tidak diberikan peruntukan walau satu sen pun dan dalam keadaan ini apakah lagi sumber yang boleh digunakan untuk menunaikan permohonan daripada rakyat melainkan daripada gaji serta elaun sendiri.

“Soal benar atau tidak, dalam kalangan kami ada B40 itu masih belum terdapat apa-apa kajian, tetapi tidak mustahil kerana bayangkan setiap bulan kami terpaksa mengeluarkan wang daripada poket sendiri bagi menanggung dan menampung amanah daripada rakyat,” katanya ketika ditemui di Kelar, pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas itu memberitahu, bagaimanapun pengorbanan yang dilakukan itu bukanlah satu beban dan dilaksanakan atas dasar tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat selepas diberi mandat pada pilihan raya umum lalu.

Ahmad Fadhli turut memberikan contoh dirinya sendiri yang ikut sama berbuat demikian demi perkhidmatan terbaik mereka kepada rakyat.

“Bukan satu bebanan kepada kami dari sudut kebertanggungjawaban dan saya sendiri lebih daripada satu per dua gaji diberikan untuk operasi sebagai wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkanlah jika RM16,000 gaji Ahli Parlimen, maka RM8,000 atau lebih digunakan hanya untuk rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan segelintir ahli Parlimen yang mempertikaikan usaha kerajaan melaksanakan perubahan termasuk dalam penyasaran subsidi serta skim pencen kerana mendakwa dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28