Pahang Rangers bakal berguru dengan kelab Sepanyol

Tengku Fadh Mu'adzam Shah bersama peserta dan juga Instruktor Kursus Kejurulatihan Level 1 AFC Futsal. - Foto Pahang Rangers FC
Tengku Fadh Mu'adzam Shah bersama peserta dan juga Instruktor Kursus Kejurulatihan Level 1 AFC Futsal. - Foto Pahang Rangers FC
A
A
A

PAHANG Rangers akan menjalin kerjasama dengan kelab dari Sepanyol, Levante bagi meningkatkan mutu permainan dan seterusnya menjadi kelab terkemuka di Asean dan Asia.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani antara kedua-dua pasukan di Putrajaya Rabu ini.

Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu'adzam Shah Sultan Ahmad Shah berkata, kerjasama itu membolehkan Pahang Rangers melihat tahap permainan berkualiti kelab terkemuka seperti Levante dan menimba pengetahuan daripada mereka.

"Kita juga dapat menghantar pemain dan jurulatih kita ke Sepanyol untuk menjalani sesi latihan bersama mereka selain membawa jurulatih kelab itu ke sini," katanya.

Tengku Fadh Mu'adzam Shah berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap Satu yang turut dihadiri Ketua Jurulatih Futsal Kebangsaan, Chiew Chun Yong di Indera Mahkota di sini hari ini.

Selain Levante, Tengku Fadh Mu'adzam Shah berkata, Pahang Rangers akan menjalin kerjasama dengan kelab futsal Chonburi Blue Wave yang terkenal di Thailand mulai Februari ini.

"Pahang Rangers sudah menghantar dua pemain iaitu Harith Naim dan Iqbal Aikal untuk berlatih selama empat minggu bersama kelab itu tahun lepas dan diharapkan kerjasama lebih erat akan terjalin selepas ini," katanya.

Tengku Fadh Mu'adzam Shah berkata, Pahang Rangers juga semakin giat menjalani latihan dan sedang menunggu ketibaan jurulatih Sepanyol, Gerard Ullastre sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas sekadar menduduki tempat kedua tahun lepas, kali ini mereka menyasarkan untuk muncul juara sekaligus melayakkan mereka menyertai Kejohanan Kelab Futsal AFC musim 2021.

Sementara itu, Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap Satu anjuran Pahang Rangers dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diadakan enam hari bermula hari ini.

Kursus disertai 20 jurulatih tempatan bertujuan melahirkan lebih ramai jurulatih yang memiliki lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). - Bernama