72 suspek militan diberkas tahun lalu

Cheong Koon Kock bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Cheong Koon Kock bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas seramai 72 individu termasuk 46 warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan serta militan pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah II, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 46 telah dituduh, tiga dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), diusir (15 orang) dan dibebaskan (8 orang).

"Sejak tahun 2013, seramai 533 individu telah diambil tindakan sebagai langkah pencegahan agar kegiatan ekstremis dapat dibendung.

"Seramai 246 orang telah dituduh yang mana 199 orang dijatuhkan hukum. Mereka yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 adalah seramai 47 orang, POTA 36 orang dan usir 58 orang, manakala selebihnya dibebaskan kerana kekurangan bukti," katanya pada sidang media khas sempena Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga kejayaan besar Cawangan Khas pada tahun lalu adalah menahan 10 suspek termasuk lapan warga asing membabitkan anasir Al-Qaeda dan Daesh dari utara Afrika yang hendak menubuhkan sel di dalam negara.

Katanya, kemudian pada Mei lalu, satu plot untuk menyerang pusat hiburan dan tempat ibadat di sekitar Lembah Klang digagalkan dengan penahanan empat suspek termasuk tiga warga asing yang mahu melancarkan serangan sebagai balas dendam terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

"September lalu pula, kita telah menangkap empat individu yang berperanan sebagai fasilitator yang membantu militan asing untuk berlepas ke Sabah sebelum ke Filipina bagi melancarkan serangan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menumpaskan 21 sindiket penyeludupan migran dengan tertangkapnya seramai 831 individu melibatkan ahli sindiket dan migran sejak tahun 2014 sehingga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, pada tahun lalu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman merekodkan 1,886 aduan merangkumi salah laku tata tertib, jenayah oleh warga PDRM dan 1,887 maklumat merangkumi segala kegiatan jenayah, pelacuran, dadah serta pendatang asing.

Tahun lalu juga, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman merekodkan 567,466 kes kemalangan dengan 6,164 kematian dicatatkan.

Selain itu, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dalam strategi dan sasarannya tahun ini akan menambah program Go-To-Safety-Point (GSTP), program pencegahan jenayah bersama sektor swasta dan badan bukan kerajaan, program town hall, penggantian MPV yang tamat pajakan serta penubuhan unit polis pelancong.