SAM gesa Pulau Pinang tangguh semua kelulusan projek mega

Meenakshi
Meenakshi
A
A
A

GEORGE TOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang menangguhkan semua kelulusan bagi mana-mana projek mega di pulau itu antaranya Transit Aliran Ringan (LRT) dan Kereta Kabel Bukit Bendera sehingga pelan tempatan yang sesuai disediakan.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, walaupun Pelan Struktur Pulau Pinang 2030 telah disediakan dan rujukan kepada LRT dan Kereta Kabel Bukit Bendera terkandung di dalamnya, tiada butiran lanjut daripada segi pengezonan terperinci kawasan projek berkenaan.

Menurutnya, setakat ini bagi pembangunan di Bukit Bendera, terdapat Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera yang menetapkan butiran mengenai pengezonan kawasan dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan di bukit berkenaan.

"Bagaimanapun akan ada kawasan di luar Rancangan Kawasan Khas tersebut, terutama di stesen bawah di kaki bukit yang melibatkan kawasan di Taman Botani Pulau Pinang dan kawasan sekitar yang memerlukan pertimbangan perancangan yang sewajarnya.

"Sementara itu, berkenaan projek LRT, sebaik sahaja penjajaran dimuktamadkan, ia akan melibatkan kesan sosial dan alam sekitar yang besar di kawasan kejiranan terdekat di sepanjang jajaran yang memerlukan perincian dari segi pelan pengezonan di kawasan-kawasan yang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Meenakshi mendakwa, kerajaan Pulau Pulau dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan pelaksanaan merancang tanpa akauntabiliti dan ketelusan yang betul.

"Agak dikesali sejak beberapa dekad ini, Pulau Pinang masih belum mempunyai pelan tempatan bagi bahagian pulau yang sewajarnya untuk mengawal perancangan secara terperinci dan pengezonan.

"Tanpa pelan tempatan, kerajaan Pulau Pinang dan MBPP akan bertindak tanpa sebarang akauntabiliti sama sekali dan ia tidak selaras dengan proses perancangan seperti yang dibayangkan oleh Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pelan tempatan memerlukan ketelusan dan penyertaan demokratik orang ramai dalam perancangan terperinci.

"Oleh itu, SAM menggesa pihak berkuasa Pulau Pinang untuk mematuhi undang-undang dan menghentikan membuat keputusan berhubung projek-projek ini sehingga pelan tempatan yang sewajarnya disediakan.

"Ini supaya perancangan pembangunan dilakukan dengan betul, akauntabiliti dan ketelusan yang sewajarnya," katanya.

Pulau Pinang mempunyai projek mega melibatkan pembinaan LRT Laluan Mutiara selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa kerajaan Pusat secara rasmi mengambil alih projek Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri.

Selain itu, projek Kereta Kabel Bukit Bendera juga merupakan satu lagi projek mega negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd (Hartasuma) dan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28