Sukma 2024: ADAMAS harap sifar doping, tumpuan kepada badang negeri

Azura Abidin
Azura Abidin
A
A
A

AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menaruh harapan tinggi agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal diadakan di Sarawak pada Ogos ini bebas daripada ‘pencemaran’ kes doping atau penyalahgunaan bahan terlarang.

Pengarah ADAMAS, Azura Abidin berkata, pihaknya menggesa agar kesemua negeri bertanding hadir secara telus dan bersih dalam temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan ujian secara rawak terhadap sukan berpotensi tinggi dengan tumpuan pastinya terarah kepada atlet angkat berat yang sering terkait dengan isu berkenaan.

"Memang hasrat kami untuk melihat sifar doping SUKMA kali ini (terutamanya dengan) Sarawak memang berhasrat menjadi penganjur paling berjaya jadi kami menggalakkan semua negeri datang dan bertanding secara bersih.

"Mesyuarat dalam jawatankuasa khas teknikal baru-baru ini setuju ADAMAS buat saringan khas atlet angkat berat sama macam di Kuala Lumpur (2022). Kita tidak boleh umum bila buat tapi pastinya sebelum SUKMA,” katanya.

Azura berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini malam tadi yang turut dihadiri menteri berkenaan Hannah Yeoh.

Beliau turut menjangkakan kira-kira 20 hingga 30 pegawai terlatih dikerahkan untuk mengawal selia kelancaran temasya itu.

Saingan Sukma Kuala Lumpur 2022 menjadi tamparan hebat buat arena sukan negara apabila lima atlet angkat berat terjerat isu doping dengan tiga daripadanya menggunakan bahan terlarang metandienone, tebutaline dan oxymetholone.

Artikel Berkaitan:

Dua pemenang pingat acara angkat berat pada Sukma 2022 pula disahkan positif bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid'.

Sukma 2024 dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28