ADUN Endau kemalangan, terima 19 jahitan

Keadaan kenderaan MPV yang dinaiki Alwiyah bersama enam ahli keluarga dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat sini pada Isnin.
Keadaan kenderaan MPV yang dinaiki Alwiyah bersama enam ahli keluarga dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat sini pada Isnin.
A
A
A

MERSING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata Alwiyah mengalami kecederaan di dagu dan mulut menerima 19 jahitan dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

"Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna ( MPV) Nissan Serena yang dinaiki Alwiyah bersama enam ahli keluarga.

"Kenderaan yang dipandu suami Alwiyah dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing dipercayai telah hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum terbabas ke tepi jalan.

"Akibat kemalangan terbabit, Alwiyah mengalami kecederaan di dagu dan mulut menerima 19 jahitan selepas membuat rawatan di Hospital Mersing. Mangsa yang lain tidak cedera," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Abdul Razak, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dua tahun lalu, Alwiyah dari Perikatan Nasional (PN) menang dalam pertembungan lima penjuru.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Alwiyah memenangi kerusi tersebut atas tiket BN.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!