Bantuan tunai raya ceriakan lebaran

Orang ramai mengambil peluang membeli pakaian raya untuk menyambut Aidilfitri. Gambar hiasan
Orang ramai mengambil peluang membeli pakaian raya untuk menyambut Aidilfitri. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena menyambut Hari Raya Puasa, Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan tunai RM1,000 kepada 8,000 penjawat awam negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu merupakan inisiatif bonus yang diberikan kepada kakitangan kerajaan tahun ini.

Wan Rosdy (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Stadium Titiwangsa pada Ahad.
Wan Rosdy (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Stadium Titiwangsa pada Ahad.

"Hari ini juga saya mengumumkan bonus kepada penjawat awam di mana kerajaan negeri setuju memberi bonus RM1,000.

"Bantuan ini sudah pastinya akan diberikan sebelum hari raya sebab ia bonus raya," katanya ketika Majlis Penyerahan Baucar Jom Balik Raya Anjuran Sekretariat Perantau Anak Pahang di Stadium Titiwangsa di sini pada Ahad.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 1,000 penerima dipilih menerima baucar berkenaan.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bercadang menambah pemberian baucar kepada 4,000 penerima menjadikan jumlah keseluruhan seramai 5,000 penerima.

Beliau berkata, ia susulan penganjuran majlis terbabit mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Pihak urus setia akan menguruskan (pemberian baucar tersebut). Kita akan pastikan (ia diberi) sebelum hari raya.

"Kita mungkin akan panggil ke pejabat atau melihat kepada pendaftaran yang ada. Kita akan menghubungi mereka, ada mekanismenya.

"Saya sangat yakin ia akan sampai ke tangan mereka sebelum hari raya, insya-ALLAH," ujarnya.

Sementara itu di Selangor, anggota perkhidmatan menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu merangkumi penjawat awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dan penjawat awam persekutuan lantikan tetap yang berkhidmat dalam jabatan di bawah pentadbiran SUK Selangor.

Amirudin. Foto Bernama
Amirudin. Foto Bernama

"Selain itu bagi pemimpin masyarakat seperti Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan kampung, kampung baru dan ketua komuniti India, Setiausaha MPKK, Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan menerima sebulan elaun.

"Penggerak masjid seperti nazir, imam rawatib, siak dan bilal untuk semua masjid serta guru rakyat yang berkerja bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula akan menerima bantuan khas RM500,” katanya yang menambah bantuan khas membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM45 juta itu akan disalurkan pada 8 April depan.

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2024 sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian itu sebagai apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam yang merupakan nadi kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, pembayaran bantuan tersebut akan dibuat pada 15 Mac ini.

"Umumnya, pemberian BKKA ini diharap dapat meringankan beban kewangan penjawat awam negeri khususnya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kon Yeow, di bawah bantuan itu juga, sebanyak RM300 diberikan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

Kon Yeow
Kon Yeow

"Turut diberi bantuan RM300 adalah guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina Pulau Pinang.

"Dalam pada itu, BKKA ini turut dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan anak syarikat Kerajaan Pulau Pinang, tertakluk kepada keupayaan kewangan masing-masing," katanya.

Di Perak, kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas raya 2024 sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan khas kepada semua penjawat awam negeri Perak itu termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

Saarani
Saarani

Tambahnya, buat julung kalinya juga, bantuan khas itu turut dipanjangkan kepada semua 995 ketua kampung di seluruh negeri.

“Ia babitkan peruntukan sebanyak RM8.8 juta dan akan memanfaatkan 8,804 penerima,” katanya.

Sementara itu di JOHOR, kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 sempena Aidilfitri kepada semua penjawat awam negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan itu memanfaatkan seramai 17,704 penjawat awam negeri.

BONUS/BANTUAN RAYA KAKITANGAN AWAM

- Persekutuan = RM500 (penjawat awam), RM250 (pesara)

- Selangor = Sebulan gaji atau minimum RM1,000

- Pahang = RM1,000

- Perak = RM1,000

- Pulau Pinang = Setengah bulan gaji atau minimum RM1,200

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!