[VIDEO] Pendaftar PADU masih boleh hantar maklumat belum lengkap

A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang telah mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU) masih boleh menghantar maklumat yang belum dilengkapkan walaupun selepas tarikh tutup pendaftaran sistem tersebut semalam.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun tarikh tutup bagi pendaftaran sistem PADU kekal hingga semalam.

"Kepada mereka yang masih ada lagi maklumat yang mungkin tidak lepas dalam pengenalan diri (gagal pengesahan identiti), e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), pasukan PADU sedang membantu untuk memastikan mereka dapat menghantar atau melengkapkan maklumat yang diperlukan ke dalam sistem tersebut.

"Cuma yang kita telah tutup ialah bagi mereka yang tidak mendaftar langsung (dalam sistem PADU) dari tempoh 2 Januari hingga 31 Mac,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan topik "PADU: Apa Selepas Ini?” pada Isnin.

Pendaftaran sistem PADU ditutup pada jam 11.59 malam 31 Mac 2024.

Pendaftar PADU masih boleh menghantar maklumat yang belum dilengkapkan walaupun selepas tarikh tutup pendaftaran sistem tersebut semalam. Foto Bernama
Pendaftar PADU masih boleh menghantar maklumat yang belum dilengkapkan walaupun selepas tarikh tutup pendaftaran sistem tersebut semalam. Foto Bernama

Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 17.65 juta atau 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun berjaya dikemas kini dalam sistem PADU.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, dengan adanya sistem PADU ini data rakyat akan sentiasa tersedia yang membolehkan kerajaan membuat analisis tepat ke atas mereka yang layak mendapat manfaat.

"Data dalam sistem PADU ini membolehkan kerajaan meneliti perkara seperti bagaimana kita hendak analisis supaya corak bantuan itu tidak hanya mengambil satu penilaian, satu lapis sahaja,” katanya.

Justeru, beliau berkata, semua pihak terutama rakyat perlu yakin bahawa data merupakan satu alat yang penting dalam menggerakkan negara ke hadapan dan kerjasama serta sokongan semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan hasrat tersebut. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28