Kemampuan kerajaan laksana pemberian subsidi bersasar dipertikai

Hanya 50 peratus rakyat berjaya mengemas kini butiran peribadi dengan PADU. Gambar kecil: Yee Fung
Hanya 50 peratus rakyat berjaya mengemas kini butiran peribadi dengan PADU. Gambar kecil: Yee Fung
A
A
A

SHAH ALAM - Perancangan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar dijangka sukar selepas hanya 50 peratus rakyat di negara ini berjaya mengemas kini butiran peribadi dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, sikap dan langkah kerajaan terhadap pendaftaran PADU telah mencetuskan beberapa siri kontroversi, menyebabkan usaha yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu itu boleh dipersoalkan.

“Jika pendaftaran boleh diautomasikan, maka tidak perlulah penjawat awam, pekerja sosial dan orang ramai menghabiskan masa mengisi borang panjang sepertimana yang diperlukan sebelum ini.

"Jika pendaftaran automatik boleh dilakukan, mengapa meminta orang ramai mengisi borang lagi?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, kerajaan meminta supaya maklumat dikemas kini adalah kerana dikhuatiri sesetengah maklumat dalam sistem itu mungkin tidak lengkap dan hanya mengandungi maklumat asas yang boleh menjejaskan rancangan kerajaan pada masa hadapan.

“Oleh itu, kerajaan mungkin memerlukan maklumat tambahan untuk memastikan kesempurnaan maklumat tersebut.

“Mekanisme atau bagaimana ianya hendak dilaksanakan masih menjadi persoalan kerana masih ramai yang belum mendaftar dengan PADU.

“Saya harap Menteri Ekonomi ada jawapannya mengenai isu ini, jika tidak sistem ini hanya membazirkan wang dan masa pembayar cukai, menjadikan sumber kerajaan terhakis dengan sia-sia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, sebanyak 17.65 juta bersamaan 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat termasuk ahli isi rumah di bawah 18 tahun yang berjaya dikemas kini dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ia termasuk 11.55 juta iaitu 52.6 peratus warganegara berumur 18 tahun ke atas yang telah berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri dalam sistem berkenaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya berterima kasih kepada rakyat yang mengambil inisiatif mendaftar PADU, termasuk pasukan pembangunan PADU, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi serta agensi-agensi lain atas usaha menjayakan pelaksanaan sistem itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28