Op Khas Pagar Laut berkas 62 individu, rampasan cecah RM5 juta

Saifuddin dalam sidang akhbar semasa Lawatan Tinjauan Op Khas Pagar Laut bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV 1) Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di perairan Klang pada Isnin.
Saifuddin dalam sidang akhbar semasa Lawatan Tinjauan Op Khas Pagar Laut bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV 1) Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di perairan Klang pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan kejayaan 62 tangkapan dengan nilai rampasan lebih RM5 juta menerusi Op Khas Pagar Laut sempena musim perayaan dalam tempoh 15 hari.

Operasi khas ini dijalankan dalam empat fasa di mana Fasa I merupakan fasa persediaan bagi pengumpulan maklumat dan siap siaga aset iaitu bermula pada 12 Mac hingga 17 Mac, diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan bermula 18 Mac hingga 1 April.

Seterusnya Fasa III yang merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan bermula 2 April hingga 16 April dan Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan bermula 17 April hingga 30 April.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan yang dilakukan membabitkan pelbagai kesalahan seperti pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk dan keluar barangan kontraban selain barang subsidi.

"Maritim Malaysia bertanggungjawab mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Sekiranya perkara ini tidak tangani, negara berhadapan dengan pelbagai isu serta turut mengalami kerugian jutaan ringgit akibat tindakan individu atau kumpulan yang menyasarkan musim perayaan bagi melakukan aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Tinjauan Op Khas Pagar Laut bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV 1) Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi; Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin serta pegawai-pegawai kanan agensi penguat kuasa di bawah KDN.

Artikel Berkaitan:

Tambah Saifuddin, kejayaan operasi Maritim Malaysia adalah berdasarkan kemampuan aset agensi ini dalam melaksanakan operasi yang dijalankan.

"Saya juga dimaklumkan dalam melaksanakan Op Khas Pagar Laut, Maritim Malaysia melalui Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Johor telah mengkoordinasikan operasi carilamat bagi satu kes bot karam melibatkan 18 PATI terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita yang cuba memasuki negara ini melalui Perairan Tanjung Karang, Selangor.

"Kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana cuba memasuki negara tanpa kebenaran," katanya.

Sementara itu, Hamid berkata, selain penguatkuasaan, Maritim Malaysia turut bersiap sedia melaksanakan tugas carilamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang membawa warga asing dari negara ini untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran nanti.

"Ini berikutan PATI dari negara jiran mengambil risiko untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menaiki bot atau tongkang yang tidak mempunyai ciri keselamatan dan menggunakan laluan yang tidak diwartakan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28