PN yakin rampas Kuala Kubu Baharu, DAP belum bincang calon

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu merampas kerusi Kuala Kubu Baharu (KKB) yang menjadi milik DAP sejak 2013.

Ketua Pemuda PN, Mohamed Sukri Omar berkata, keyakinan tersebut dibantu dengan komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus yang cukup mesra terhadap PN.

Menurutnya, PN juga dijangka mendapat sokongan anak-anak muda terutama undi 18 tahun yang terdedah dengan teknologi, memudahkan mereka mendapat maklumat dan membuat penilaian.

"Buktinya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos 2023, DAP hanya mendapat tambahan 761 undi berbanding pilihan raya sebelumnya.

"Sementara PN pula menerima pertambahan sebanyak 7,437 undi (PRU14 bertanding atas tiket Pas).

"Pertambahan undi lebih 10 kali ganda ini memberi isyarat jelas bahawa gelombang rakyat sedang mara bersama PN," katanya menerusi kenyataan.

Kerusi KKB kosong selepas kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada PRN lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Artikel Berkaitan:

Beliau bertanding atas tiket Pakatan Harapan-DAP merupakan penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal sejak 2013.

Mohamed Sukri berkata, biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat ketetapan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) N06 KKB, namun Pemuda PN sudah bersiap siaga memberikan saingan.

"Tanpa mengira siapa pun calon PN yang bakal diletakkan, seluruh Pemuda PN Selangor sudah bersedia menghadapi pesta demokrasi di N06 kelak," katanya.

Sze Han
Sze Han

Sementara itu, Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, pengganti mendiang Kee Hiong belum diputuskan buat masa ini.

"Kami belum ada perbincangan yang khusus untuk perkara ini kerana semua usaha tertumpu membantu majlis pengebumian dan keluarga mendiang Kee Hiong," ujarnya ringkas.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28