PRK Kuala Kubu Baharu: Urimai sokong calon pembangkang

Satees
Satees
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia atau Urimai akan turun berkempen dan memenangkan calon umum pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu jika kesepakatan dapat dicapai oleh semua parti pembangkang.

Sehubungan itu, Setiausaha Jawatankuasa Interim Urimai, M Satees berkata, parti pembangkang perlu bersama-sama bergabung tenaga dan sumber untuk memilih seorang calon yang mampu menang.

Menurutnya, langkah berkenaan penting untuk mengalahkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kuala Kubu Baharu.

“Jawatankuasa Interim berpendapat, PRK ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan penolakan masyarakat India terhadap gabungan politik PH-BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa keputusan untuk meletakkan calon bebas hanya akan memecahbelahkan undi dan memanfaatkan PH-BN maka Urimai memutuskan untuk tidak meletakkan calon bebas di Kuala Kubu Baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Urimai merupakan sebuah parti baharu yang ditubuhkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy bersama beberapa rakan lain termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees dan bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel.

Pada 24 Mac lalu, media melaporkan, pengisytiharan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu susulan kematian penyandang mewakili DAP, Lee Kee Hiong akan dibuat sebaik segala urusan pengebumian mendiang selesai.

Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, kini urusan pengebumian mendiang belum selesai dan dijangka diuruskan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Satees memberitahu bahawa Jawatankuasa Interim Urimai memberi mandat kepada Pengerusinya, Ramasamy untuk mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang dalam usaha menyatupadukan tenaga bagi menghadapi PRK Kuala Kubu Baharu.

Ujarnya, jawatankuasa mengambil kira pandangan daripada pimpinan negeri Selangor bahawa PRK itu penting untuk parti berkenaan menonjol, memandangkan 18 peratus pengundi di DUN berkenaan berketurunan India.

“Antara cadangan yang diketengahkan adalah untuk seorang anak tempatan dicalonkan dengan simbol bebas, memandangkan pendaftaran parti sehingga kini tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa jawatankuasa pilihan raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu akan dipengerusikan oleh David yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Interim Urimai.

Katanya, jawatankuasa itu akan menggerakkan kempen Urimai di PRK berkenaan dan menyelaraskan kempen calon pembangkang yang bertanding.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!