Contohi Ismail Sabri tadbir negara, rai pembangkang - Pas

Ahmad dan Ismail Sabri.
Ahmad dan Ismail Sabri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri sewaktu mentadbir negara sebagai contoh dalam meraikan perbezaan antara kerajaan dengan pembangkang.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya berkata, Ahli Parlimen Bera itu meneruskan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam berdepan cabaran memulihkan ekonomi pasca Covid-19 yang memerlukannya bekerjasama dengan pembangkang bagi menstabilkan negara.

“Saya kira sewaktu Ismail Sabri (menjadi Perdana Menteri) berjaya menjadikan Malaysia tenang dan meraikan pembangkang, malah kita jarang dengar isu seperti yang berlaku hari ini.

“Mungkin ada (kontroversi) tetapi tidak sampai ke peringkat tidak selesa dan huru-hara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mahabbah Media dan Berbuka Puasa bersama Dewan Ulamak Pas Pusat di Hotel Grand Barakah, Ampang pada Sabtu.

Pada tahun 2021, Ismail Sabri telah mencatatkan sejarah politik matang Malaysia apabila buat julung kalinya kerajaan dan pembangkang membina ‘jambatan perdamaian’ meredakan cacamarba politik dalam negara menerusi memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Pembaharuan landskap politik yang dicorakkan bekas Perdana Menteri itu menerusi MoU yang dimeterai dilihat membuahkan hasil dan berupaya menenangkan ‘hingar-bingar’ politik.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa, kecelaruan pentadbiran Anwar mungkin disebabkan pelbagai janji telah dibuat sebelum ke Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

“Ini faktor paling besar...terlalu banyak janji tetapi banyak janji tidak ditunaikan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28