Kementerian Kewangan perinci skop pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MoF) telah memperincikan skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk membantu mengurangkan kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat serta insiden cukai berganda.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengecualian cukai bagi sektor logistik dan penyenggaraan itu akan juga membantu memastikan sektor perkhidmatan negara terus berdaya saing.

"Bagi terus memelihara daya saing negara, kerajaan juga tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan di kawasan zon bebas cukai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Untuk mengurangkan lagi impak kepada operasi harian aktiviti logistik, dan secara tidak langsung kepada pengguna, kerajaan bersetuju pemindaan dibuat kepada Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018.

"Butiran 1(a) berkenaan perkhidmatan logistik dan Butiran 1(b) berkenaan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang digabungkan sebagai satu butiran.

"Melalui penggabungan ini, skop kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) telah diluaskan iaitu penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) kini layak mendapat pengecualian yang lebih luas dengan tidak lagi perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang yang sebelum ini berada di bawah Butiran 1(b),” katanya.

Sebelum ini, penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) hanya layak mendapat pengecualian cukai ke atas perolehan perkhidmatan yang berada dalam Butiran 1(a) yang sama.

Kementerian Kewangan berkata, semua perkhidmatan di bawah Kumpulan J: Perkhidmatan logistik yang dibekalkan di dalam dan antara kawasan khas/kawasan ditetapkan atau di antara kawasan khas dengan kawasan ditetapkan atau sebaliknya tidak tertakluk kepada pengenaan cukai perkhidmatan kecuali perkhidmatan Ejen Kastam yang kekal dikenakan cukai tersebut

Artikel Berkaitan:

"Zon Perdagangan dan Perindustrian Bebas seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Barat di Selangor serta Pelabuhan Pasir Gudang di Johor akan memperoleh manfaat daripada pengecualian ini," katanya.

Kerajaan juga menyediakan pengecualian ke atas caj perkhidmatan penghantaran laut bagi semua barang yang dihantar menggunakan mod pengangkutan laut, terhad kepada penghantaran dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak/Labuan; Sabah/Sarawak/Labuan ke Semenanjung Malaysia; dan antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

Penambahbaikan ini susulan daripada peluasan skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik yang diumumkan pada 11 Mac, 2024.

Selain itu, Kementerian Kewangan berkata pengecualian daripada membayar cukai perkhidmatan juga diberikan kepada perkhidmatan penyenggaraan yang berkaitan dengan perkhidmatan pembaikan bangunan rumah kediaman, kumpulan wang pelepas (sinking fund) dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman yang disediakan oleh pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman.

"Ini bermaksud apa-apa perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan di premis kediaman seperti pembaikan bumbung rumah atau apa-apa peralatan dan kelengkapan yang menjadi sebahagian daripada premis kediaman seperti lif, penyaman udara serta sistem pemanas air tidak dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya.

Kementerian itu menegaskan kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6 peratus ke 8 peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac, 2024, lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang tidak melibatkan rakyat secara langsung.

Kenaikan tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28