Pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik kurangkan kesan cukai berganda

Antara perkhidmatan yang dikecualikan cukai adalah barang yang dieksport terus, aktiviti transhipment, transit, logistik door-to-door, penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang. Foto hiasan
Antara perkhidmatan yang dikecualikan cukai adalah barang yang dieksport terus, aktiviti transhipment, transit, logistik door-to-door, penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengecualian cukai perkhidmatan dalam sektor logistik akan mengurangkan kesan cukai berganda kepada pemain industri.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) perlu dilakukan bagi mengurangkan impak negatif kepada operasi harian aktiviti logistik.

Antara perkhidmatan yang dikecualikan cukai adalah barang yang dieksport terus, aktiviti transhipment, transit, logistik door-to-door, penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang.

“Tindakan ini untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata (cascading effect) daripada mengenakan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.

“Penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan yang sama,” katanya pada Isnin.

Sebelum ini, menerusi ucapan penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, MOF akan menambah baik skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk mengurangkan kesan cukai berganda.

Pada Belanjawan 2024, kerajaan telah mengumumkan perkhidmatan logistik dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus mulai 1 Mac 2024.

Susulan itu, sebanyak 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor logistik telah diadakan sebelum pelaksanaan perubahan cukai tersebut dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, MOF berkata, sesi libat urus bersama pemain industri akan terus diadakan bagi memuktamadkan pindaan ke atas garis panduan yang membolehkan skop pengecualian itu dikuatkuasakan.

Jelasnya, perkhidmatan penghantaran fret juga turut layak mendapat pengecualian ke atas gudang, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama.

Tambah MOF, bagi penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar diberi tempoh sebulan dan akan hanya dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bermula 1 April 2024.

“Kerajaan memahami keperluan pemain industri untuk mempunyai masa yang mencukupi dalam meminda sistem pengkomputeran mereka.

“Kami berharap layanan khas yang diberikan ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa sama memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28