Tinjauan MB ke CIQ bertujuan tingkat perkhidmatan, kebajikan petugas - Exco

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau operasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan dan kebajikan petugas.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Onn Hafiz mahu pegawai kerajaan memberikan komitmen yang tinggi sekali gus membantu memperjuangkan kebajikan dan keselesaan mereka.

Mohamad Fazli yang terpanggil untuk mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, Onn Hafiz memperjuangkan segala isu dihadapi pegawai kerajaan di CIQ tersebut sehingga ia mendapat perhatian menteri berkaitan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dari isu kekurangan pegawai, keselesaan pegawai, kebajikan pegawai hinggalah tempat letak kereta pegawai serta tunggakan elaun lebih masa mereka sentiasa menjadi keutamaan Menteri Besar.

"Jadi di mana salahnya apabila Menteri Besar turut menuntut komitmen yang sepatutnya diberikan oleh pegawai kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk negeri ini?," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, isu kesesakan di kedua-dua CIQ itu telah berlaku sejak sekian lama dan ia perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk diselesaikan.

"Saya sentiasa bersama Menteri Besar dalam siri lawatan beliau ke BSI serta KSAB, dan saya betul-betul tahu niat beliau tidak lain tidak bukan untuk menyelesaikan isu yang telah membelenggu bukan sahaja pegawai kerajaan yang bertugas di CIQ tersebut, malah rakyat yang menggunakan CIQ sejak sekian lama.

"Isu CIQ ini melibatkan ratusan ribu rakyat Malaysia khususnya Bangsa Johor yang berulang-alik setiap hari dan sudah semestinya menjadi keutamaan kerajaan untuk menyelesaikannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook sebelum ini meluahkan kekecewaan apabila 13 kaunter di laluan kereta CIQ BSI tidak dibuka kepada orang ramai hingga menyebabkan kesesakan.

Bagaimanapun, Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh dilaporkan berkata, lawatan Onn Hafiz itu dibuat di luar waktu puncak selain pegawai sedang dalam giliran untuk berehat selepas waktu puncak.

Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin pula menggesa Onn Hafiz agar memberi teguran kepada penjawat awam secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial bagi mengelakkan timbul dakwaan yang tidak menggambarkan situasi sebenar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!