Dua pelajar Malaysia maut kemalangan di New Zealand

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand melaporkan dua daripada lima pelajar warganegara Malaysia yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo telah terkorban di tempat kejadian.

KLN (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku jam 1.45 petang waktu tempatan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, tiga mangsa lagi telah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan lancar.

“KLN dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

“Kami juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, media tempatan New Zealand melaporkan kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal berlaku di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki.

Laporan yang memetik pegawai polis tempatan, Craig McKay itu memberitahu, mangsa yang maut itu adalah seorang penunggang motosikal sementara dua lagi bersama dalam sebuah kereta.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28