Bapa Megat Ashman Aqif berlepas ke New Zealand malam ini, bawa jenazah pulang

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Datuk Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand semalam memaklumkan bapa penuntut itu akan berlepas ke New Zealand malam ini bagi urusan pengurusan jenazah anaknya.

Megat Khashusaini Megat Abd. Rahman, 85, berkata, anaknya Megat Irman Jefni,49, ada memaklumkan hasratnya membawa pulang jenazah anaknya untuk dikebumikan di Perak namun keputusan itu belum muktamad.

"Kami ada cadang, biarlah jenazah dikebumikan di sana kerana jika dibawa balik prosesnya rumit tetapi katanya dia mahu arwah ada ‘tanda’ di sini dan mudah untuk melawat kuburnya nanti, namun semua terserah pada keputusan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gunung Rapat di sini hari ini.

Menceritakan detik dia dan isteri diberitahu ketiadaan Allahyarham, pesara itu berkata, anaknya menelefonnya meminta datang ke rumah di Meru semalam katanya ada ‘kejutan’ untuk diberitahu.

Apabila sampai ke rumah anaknya itu, anaknya terus memeluknya dan memberitahu cucunya sudah meninggal dunia.

"Saya lihat dia (Megat Irman Jefni) tetap masih menelefon Aqif walaupun sebelum itu dia telah diberitahu Aqif telah tiada, telefon Aqif masih berdering tapi tidak ada siapa yang menjawab panggilan itu,” katanya sebak.

Megat Khashusaini berkata, dia difahamkan Megat Ashman Aqif berkonvoi bersama dua kenderaan lain yang terdiri rakan-rakannya sebelum kenderaan yang dipandu cucunya di belakang sekali terpisah dari kumpulan konvoi.

"Rupa-rupanya kenderaan arwah telah terlibat dalam kemalangan, difahamkan berlanggar dengan sebuah motosikal dan terbabas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62, pula berkata, Megat Ashman Aqif yang baru menyambut hari lahir pada 8 Mac lepas seorang yang periang dan akan memberitahu setiap kali keluar ke mana-mana sejak belajar di New Zealand pada Julai tahun lepas.

"Dia ada beritahu dia dapat praktikal di sebuah firma akaun di sana dan beritahu dia tidak akan balik ke tanah air sampai habis belajar, kali terakhir dia menghubungi kami kelmarin dan bertanya berbuka di mana,” katanya.

Megat Ashman Aqif yang merupakan anak kedua dari lima beradik seorang yang sering mengajak rakan-rakannya bersolat menurut cerita rakan-rakannya.

Cucunya itu juga merancang berkahwin di rumah datuk dan neneknya.

Sementara itu bapa Allahyarham tidak bersedia untuk bercakap dengan pemberita akibat terlalu sedih.

Semalam, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada 1.45 tengah hari waktu tempatan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!