Walker, Stones terlepas aksi menentang Arsenal

Walker (kiri) ketika digantikan semasa tugasan antarabangsa menentang Brazil. Foto AFP
Walker (kiri) ketika digantikan semasa tugasan antarabangsa menentang Brazil. Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER City menghadapi masalah kecederaan berganda apabila Kyle Walker dan John Stones akan terlepas perlawanan penting pada Ahad dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal.

Kedua-dua pemain itu cedera ketika tugasan antarabangsa bersama England.

Walker diganti pada minit ke-20 semasa kekalahan 0-1 kepada Brazil kerana masalah hamstring, manakala Stones mengalami kecederaan ketika England seri 2-2 dengan Belgium.

Juara bertahan City berada di tempat ketiga dalam EPL, tetapi hanya satu mata di belakang pendahulu Arsenal, yang mendahului Liverpool hanya dengan perbezaan gol.

Ketiadaan gandingan pertahanan utama itu juga membimbangkan City dengan perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 9 April.

“(Kecederaan) Kyle lebih teruk daripada John tetapi mereka tidak dapat beraksi - saya tidak tahu untuk berapa perlawanan,” kata pengendali City, Pep Guardiola.

Bagaimanapun, berita positif untuk Guardiola apabila Ederson, Manuel Akanji, Jack Grealish dan Kevin De Bruyne semuanya kelihatan bersedia untuk kembali daripada kecederaan.

De Bruyne, yang membantu dalam kemenangan City 2-0 pada suku akhir Piala FA ke atas Newcastle sebelum rehat antarabangsa, telah terlepas lima bulan pertama kempen akibat kecederaan hamstring.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu telah memberikan 12 bantuan gol dan menjaringkan dua gol dalam 12 penampilan untuk City musim ini selepas kembali cergas.

“Kevin sangat penting. Ia adalah musim yang sukar untuknya dengan kecederaan.

“Dia sudah lama tidak bermain tetapi dia berlatih dengan baik semalam. Kita akan lihat apa yang dia lakukan pada hari-hari seterusnya,” katanya.

De Bruyne menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 City ke atas Arsenal di Etihad musim lalu yang memberikan tamparan hebat kepada aspirasi gelaran EPL The Gunners.

Anak buah Mikel Arteta kelihatan lebih matang dan mantap musim ini, tetapi menghadapi ujian sama ada mereka bersedia untuk menyingkirkan City sebagai juara EPL pada hari Ahad.

City tidak pernah kalah di laman sendiri dalam 38 perlawanan dalam semua pertandingan, bermula sejak November 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!