'Walaupun tak sambut, tak salah kami sama-sama rasai kemeriahan'

Sheela (tengah belakang) menyimpan kenangan dengan bergambar di Dataran Lobak.
Sheela (tengah belakang) menyimpan kenangan dengan bergambar di Dataran Lobak.
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun kawasan Lobak di sini lebih 70 peratus penduduknya terdiri daripada kaum Cina, namun atas semangat perpaduan, Dataran Lobak dihiasi dengan lampu hiasan bertemakan sambutan Aidilfitri.

Malah kawasan itu yang dahulunya sekadar padang semata-mata kini menjadi 'tempat perpaduan' apabila masyarakat pelbagai kaum datang berkunjung ke situ.

Pada sambutan Tahun Baharu Cina bulan lalu ia turut dihiasi dengan pelbagai hiasan bertemakan perayaan malah ia turut sama akan dilakukan pada Deepavali akan datang.

Chew Seh Yong
Chew Seh Yong

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, inisiatif itu diambil bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri sekali gus melambangkan masyarakat majmuk di negara ini.

"Dataran Lobak ini sudah jadi 'Dataran Madani' yang merupakan satu tempat menyatupadukan masyarakat khasnya pada musim-musim perayaan.

"Ia inisiatif saya dengan Ahli Parlimen Seremban malah turut dapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat untuk sama-sama menghiasi kawasan ini sejak dua minggu lalu.

"Antara hiasan yang ada di sini seperti replika ketupat, lampu jalan ketupat, lemang, wau bulan dan pelita panjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat berbilang kaum berkunjung ke Dataran Lobak melihat hiasan lampu bertemakan Aidilfitri.
Masyarakat berbilang kaum berkunjung ke Dataran Lobak melihat hiasan lampu bertemakan Aidilfitri.

Sementara itu orang awam, A Sheela, 39, berkata, dia mengambil kesempatan datang ke situ bersama keluarga selepas mengetahui kawasan berkenaan dihiasi dengan lampu menarik menjelang Aidilfitri.

"Anak yang ajak datang ke sini kerana katanya kawasan ini dihiasi lampu hiasan bertemakan Aidilfitri.

"Walaupun saya tak sambutnya, tapi tak salah untuk kami bersama-sama merasai kemeriahan perayaan kawan-kawan (beragama) Islam. Lagi pun inilah semangat perpaduan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Hiasan lampu bertemakan Aidilfitri di Dataran Lobak
Hiasan lampu bertemakan Aidilfitri di Dataran Lobak

Dia yang bekerja sebagai jururawat berharap pihak penganjur dapat melakukan perkara sama pada perayaan Deepavali kelak.

Low Seng Fei, 42, turut tidak melepaskan peluang membawa anaknya berjalan-jalan di situ sekali gus dapat merasa kehangatan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Inilah uniknya Malaysia kerana kita dapat sambut semua perayaan berbilang kaum dan bila adanya hiasan sebegini kita sudah tahu yang hari raya sudah tiba.

"Setiap kali hari raya, saya juga akan meraikannya lebih-lebih lagi bos saya adalah orang Melayu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!