Disangkakan bau mayat, rupa-rupanya...

Rodzi (kanan) menunjukkan plastik yang mengandungi ular tedung senduk yang ditemui di kawasan kebun getah di Kampung Kolam, Padang Besar semalam.
Rodzi (kanan) menunjukkan plastik yang mengandungi ular tedung senduk yang ditemui di kawasan kebun getah di Kampung Kolam, Padang Besar semalam.
A
A
A

KANGAR - Bau busuk yang disangka mayat oleh orang awam di sekitar kawasan kebun getah Kampung Kolam, Padang Besar membawa kepada penemuan 22 bungkusan guni yang mengandungi 154 ekor ular tedung senduk semalam.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam jam 6 petang semalam.

Katanya, terdapat beberapa bungkusan plastik mengandungi ular yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand berikutan terletak hanya 100 meter dari sempadan negara.

"Hasil siasatan mendapati jumlah keseluruhan rampasan berkenaan bernilai RM30,800," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perlis di sini hari ini.

Menurutnya, ular berkenaan dipercayai akan dijual RM300 sekilogram bagi tujuan makanan eksotik.

Anggota Perhilitan Perlis membawa beg plastik berisi ular tedung senduk.
Anggota Perhilitan Perlis membawa beg plastik berisi ular tedung senduk.

Tambah Rodzi, pihaknya percaya aktiviti tersebut dilakukan oleh warga tempatan namun pihaknya masih belum berjaya mengesan pelaku.

"Ini merupakan kes pertama tahun ini di mana tahun lalu pihak Aksem berjaya merampas tenggiling yang juga dipercayai cuba diseludup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes diserahkan kepada Perhilitan Perlis dan akan disiasat bawah Seksyen 60 kerana memiliki hidupan liar tanpa permit, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 716 (2010).

"Jika sabit kesalahan pelaku akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.