X

Kindly register in order to view this article
!

Status amaran gunung berapi Taal dinaikkan kepada tahap 4

Penduduk menggunakan penyodok untuk membersihkan lumpur dan debu tebal dibebaskan Taal yang meliputi jalan sekitar bandar Tanauan di wilayah Batangas. - Foto AFP
A
A

TAGAYTAY - Gunung berapi Taal di Filipina memuntahkan lava hari ini selepas ia membebaskan debu panas sehingga 10 ke 15 kilometer (km) ke permukaan hingga memaksa penduduk kampung sekitar dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, tiada laporan kematian atau kemusnahan harta benda akibat letusan Taal yang bermula semalam.

Agensi pemerhati aktiviti gunung berapi bertindak menaikkan status amaran sekitar Taal kepada tahap 4 dengan yang menunjukkan 'letusan berbahaya'.

Awan panas yang dibebaskan gunung berapi itu dilaporkan telah merebak sejauh lebih 100km ke Manila dan mengakibatkan penutupan lapangan terbang utama dengan lebih 240 penerbangan domestik serta antarabangsa terpaksa dibatalkan.

"Ia sangat berbahaya kepada orang ramai. Selain debu vulkanik, beberapa zarah dengan diameter berukuran sehingga 6.4 sentimeter, lebih besar daripada saiz bola golf juga dilaporkan jatuh di kawasan sekitar tasik gunung berapi tersebut," kata Ketua Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, (Phivolcs), Renato Solidum yang turut menjelaskan kira-kira 53 gempa vulkanik telah direkodkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gunung berapi meletus, ribuan penduduk Filipina berpindah

Menurutnya, peningkatan aktiviti seismik menandakan terdapatnya aliran magma secara berterusan pada dasar Taal yang boleh membawa kepada letusan susulan.

Sejak semalam, kira-kira 8,000 penduduk dipindahkan ke 38 pusat pemindahan di wilayah terjejas di Batangas dan Cavite.

Pihak berkuasa menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat, namun ada juga sebahagian penduduk dilaporkan tidak dapat keluar dari perkampungan masing-masing kerana tiada pengangkutan dan jarak penglihatan yang semakin merosot.

Datuk Bandar Balete, Wilson Maralit berkata, kebanyakan penduduk panik dan ada juga yang berdegil mahu menyelamatkan haiwan ternakan masing-masing.

Difahamkan, kali terakhir Taal meletus adalah pada 1977. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!